KUALA LUMPUR: Biarpun sudah hampir dua tahun ‘diperam’, Skop Productions Sdn Bhd yang menerbitkan dua filem berskala besar iaitu Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3, belum bercadang menayangkan kedua-dua karya itu dalam platform Over The Top (OTT).

Pemilik empayar perfileman itu, Datuk Yusof Haslam, berkata beliau dan penerbit bersama, Astro Show belum terdesak menayangkan Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 dalam platform digital berikutan penutupan pawagam.

Tambahnya, tayangan melalui platform digital tidak berbaloi kerana kedua-dua filem yang diarah anaknya, Syafiq itu menelan belanja besar sebanyak RM12 juta.

“Buat sementara waktu, kami tangguhkan tayangan Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 berikutan keadaan industri filem yang tidak menentu dalam tempoh pandemik ini.

“Setakat ini, kami belum terdesak untuk menayangkan kedua-dua filem itu. Kami mahu melihat kepada situasi semasa. Jika panggung wayang dibuka pun selepas ini, kami tidak yakin orang ramai akan pergi.

“Jika ada sekalipun, mungkin dalam 20 peratus sahaja. Jadi, kami perlu berhati-hati membuatkan keputusan supaya tidak tersilap langkah,” katanya kepada BH Online.

Yusof berkata, operasi pawagam dan pasaran filem pada era pandemik COVID-19 cukup membimbangkan.

“Keadaan pawagam ketika ini cukup merisaukan. Banyak panggung wayang persendirian gulung tikar. Filem luar negara pun tidak berani masuk, jadi memang setakat ini, kami masih belum ada hasrat untuk menayangkan kedua-dua filem itu di mana-mana platform,” katanya.

Pemilik empayar Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam belum terdesak menayangkan Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 dalam platform digital berikutan penutupan pawagam.
Pemilik empayar Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam belum terdesak menayangkan Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 dalam platform digital berikutan penutupan pawagam.

Yusof berkata, andai keadaan sudah terdesak, syarikat mungkin menimbang untuk menjual Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 kepada saluran penstriman seperti Netflix atau Disney+ Hotstar.

Namun, perkara itu bergantung kepada harga yang ditawarkan kedua-dua saluran berkenaan.

Ditanya mengenai perancangan Skop Productions untuk menerbitkan filem pada era pandemik COVID-19, Yusof berkata, semua projek menghasilkan filem baharu ditangguhkan kecuali drama bersiri dan drama premium untuk stesen televisyen (TV).

Yusof mengaku keadaan semasa cukup mencabar untuk mempertahankan syarikat yang ditubuhkan sejak lebih 30 tahun lalu.

“Kami terpaksa menumpukan perhatian kepada program TV dan pawagam di rumah. Salah satu daripadanya adalah filem Penunggang Agama 2 yang akan ditayangkan di saluran Astro First pada Oktober atau November depan.

“Kami berani ambil risiko menghasilkan Penunggang Agama 2 untuk Astro First kerana kosnya tidak besar. Bagi platform sedemikian, bajet tidak boleh melebihi RM1 juta, jika tidak kami bakal menanggung kerugian,” katanya.

Yusof mengaku perlu aktif menerbitkan produk TV bagi membiayai kos penggajian 40 pekerja dan membela nasib mereka.

“Mereka sudah saya anggap seperti keluarga sendiri, jadi saya tidak sampai hati melepaskan mereka. Jadi, saya perlu aktif menghasilkan pelbagai produk demi kelangsungan syarikat,” katanya.

Antara babak Zizan Razak dalam filem Abang Long Fadil 3.
Antara babak Zizan Razak dalam filem Abang Long Fadil 3.

Selain Penunggang Agama 2, Skop Productions sedang menyiapkan drama bersiri terbaru berjudul Gerak Khas Undercover. Drama lakonan Rosyam Nor dan Elizabeth Tan itu sepatutnya menemui penonton, bulan ini.

Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan isu pertembungan jadual pelakon, tayangan drama yang akan disiarkan TV3 terpaksa ditangguhkan akhir tahun ini.

Selain itu, Skop Productions juga mengikat komitmen menghasilkan drama premium untuk saluran Astro dan Disney+ Hotstar.

Bagaimanapun, Yusof berkata, penerbitan drama tidak menjanjikan pulangan besar kerana harga ditawarkan stesen TV sama seperti 35 tahun lalu.

“Keuntungan daripada penerbitan drama tidak sebesar mana. Kalau dahulu penerbit boleh dapat sekitar 30 peratus. Tetapi sekarang kos menghasilkan drama tidak sama seperti dahulu.

“Apatah lagi, pelakon tidak mengambil kira produk drama premium atau tidak dalam menentukan harga. Pelakon masih meletakkan harga mengikut kadar dikehendaki mereka.

“Ada yang meminta harga antara RM4,000 hingga RM6,000 untuk satu episod, jadi, penerbit tidak boleh buat untung dengan menghasilkan drama,” katanya.

Skop Productions Sdn Bhd ditubuhkan pada 1985. Yusof kali pertama mengarah filem Bayangan Maut pada 1991, disusuli Pemburu Bayang (1992) dan Sembilu (1994).

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *