APALAH ertinya dunia ‘showbiz’ tanpa kisah sensasi. Dalam menyaksikan satu persatu kejayaan dan perkembangan positif industri seni kreatif tanah air sepanjang 2025 yang bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi, hadir rentetan cerita ‘panas’ atau kontroversi yang dicetuskan segelintir penggiatnya, lantas menambah warna pentas seni.

Bermula daripada kisah percintaan dan pergolakan rumah tangga, isu salah laku, sehinggalah membabitkan perseteruan dua pihak, pelbagai episod sensasi ini mewarnai landskap hiburan tempatan sepanjang tahun.

Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, industri hiburan tempatan tidak pernah sunyi daripada ‘hiruk-pikuk’ kisah peribadi selebriti yang menjadi tatapan umum. Ditambah dengan pengaruh media sosial dan keterbukaan platform digital masa kini, setiap isu tersebar sekelip mata, lantas, memicu perbincangan hangat warga maya.

Selain cerita ‘panas’ yang menjadi topik laman sembang, berita perkahwinan antara selebriti juga tidak kurang mencuri perhatian apabila disifatkan sebagai simbol kebahagiaan dan penyatuan dua figura popular.

Sorotan artis kontroversi dalam edisi B*POP terakhir tahun ini menghimpunkan pelbagai isu yang pernah mencuri perhatian sebagai cerminan realiti dunia hiburan yang ternyata sarat cabaran, meskipun diselubungi glamor dan sorakan peminat.


Nabila mendakwa ‘perempuan itu’ yang menjadikan hubungan bersama Amy Search renggang, sejak beberapa tahun lalu.
Nabila mendakwa ‘perempuan itu’ yang menjadikan hubungan bersama Amy Search renggang, sejak beberapa tahun lalu.

Nabila Huda dan ‘perempuan itu’

Antara cerita yang mencuri perhatian sepanjang 2025 adalah membabitkan konflik antara aktres terkenal, Nabila Huda dengan indivdu digelar ‘perempuan itu’.

Dalam temubual bersama media, Nabila akhirnya membuka mulut mengenai apa yang didakwa ‘dalang’ yang menjadikan hubungan bersama bapa yang juga penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search renggang, sejak beberapa tahun lalu.

Nabila mendakwa, selama ini yang mencetus kemelut kekeluargaan antara dirinya dengan bapa tercinta adalah ‘wanita itu’, namun tidak memperincikan apakah tindakan dilakukannya.

Menurut aktres berusia 40 tahun itu, dia sama sekali tidak mempunyai sebarang masalah dengan Amy dan hubungan mereka masih baik.

“Orang ingat saya asyik bergaduh dengan papa (panggilan Amy) sahaja, tak habis-habis. Kami sentiasa okay dan tiada pergaduhan besar. Cuma, masalahnya ‘si polan’ itu.

“Wahai ‘perempuan itu’ saya nak awak tahu , saya tahu semua rahsia awak. Saya tahu semua yang berlaku dan ada segala-galanya.

“Jadi, berhentilah buat apa yang awak sedang buat sekarang. Kita ini tak kisahlah status tinggi mana, yang penting adalah adab,” katanya.

Sebelum ini, perkongsian Nabila yang memaparkan dia bertemu dan memeluk Amy, sambil kedua-duanya menitiskan air mata meruntun hati netizen.

Turut dimuat naik Nabila adalah video dirinya mencurahkan perasaan rindu terhadap Amy selepas kira-kira setahun tidak berjumpa melalui panggilan telefon ketika bapanya itu menjadi tetamu di konti radio Hot FM.


Naim Daniel didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun
Naim Daniel didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun

Naim Daniel terpalit dakwaan kes amang seksual

Turut menggemparkan indusri adalah isu membabitkan penyanyi dan pelakon, Naim Daniel yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Bagaimanapun, ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 17 Jun lalu, Naim mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M Kundasamy.

Naim dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Media sebelum ini melaporkan selebriti terkenal yang ditahan berhubung kes amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun, didakwa baru kali pertama membawa mangsa ke hotel.

Maklumat berkenaan diperoleh selepas polis menjalankan soal siasat. Suspek dan mangsa yang juga pelajar berkenalan kira-kira dua bulan sebelum tahanan dilakukan. Naim ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Naim yang pertama kali berhadapan media selepas terpalit dengan kes berkenaan dilapor memohon ruang untuk dirinya membersihkan nama selepas berdepan dengan pertuduhan yang diaggap begitu berat.

“Saya baru sahaja didakwa untuk satu tuduhan berat dan saya faham semua ada persoalan, banyak tanda tanya dan mengejutkan setengah pihak juga.

“Buat masa sekarang, saya belum bercadang mengulas panjang mengenai perkara ini kerana masih dari peringkat awal. Saya juga tidak ingin ada sebarang campur aduk yang mungkin boleh mengganggu perbicaraan nanti.

“Saya serahkan semua kepada sistem keadilan dan saya komited memberi kerjasama penuh untuk membersihkan nama. Saya harap dapat doa daripada semua orang. Saya mahu fokus pada ‘well being’ saya sahaja,” kata selebriti berusia 28 tahun itu.


Anna meluangkan masa bersama ibunya ketika berada di karpet merah ABPBH Ke-37, baru-baru ini.
Anna meluangkan masa bersama ibunya ketika berada di karpet merah ABPBH Ke-37, baru-baru ini.

Isu dalaman Anna Jobling dengan ibu

Konflik mula tersebar apabila ibu kepada aktres jelita, Anna Jobling, iaitu Ariz Arop mendakwa anak kesayangannya itu memfailkan perintah injunksi terhadap dirinya.

Ariz turut mendakwa Anna memperlakukan dirinya seperti ‘anjing kurap’, selain sudah semakin lama lupa diri.

Dalam satu video, Ariz menangis teresak-esak di hadapan sebuah balai polis berkongsi bagaimana susahnya pengorbanan dicurahkan buat Anna sehingga ke tahap sekarang.

Ariz mendakwa gadis berusia 25 tahun itu sanggup mendapatkan bantuan peguam demi mengelak berada dalam satu kereta dengannya.

Selepas sekian lama berdiam diri dan mengelak pertanyaan media berhubung perkara itu, Anna akhirnya mengakui hubungan mereka kini sudah beransur pulih, apatah lagi mereka sempat meluangkan masa ketika berada di karpet merah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-37.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya dan keluarga. Apa-apa pun, dia tetap ibu saya. Syurga saya tetap di bawah tapak kaki ibu saya. Walaupun berlaku salah faham sebelum ini, doa ibu sangat penting untuk hidup saya

“Dia hadir menyokong saya malam ini. Kalau tiada dia, saya rasa kosong. Doakan yang terbaik buat kami,” katanya.


Along mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April 2024, namun, mahligai itu hanya mampu bertahan beberapa bulan.
Along mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April 2024, namun, mahligai itu hanya mampu bertahan beberapa bulan.

Along Cham berdepan dakwaan memiliki bahan terlarang dan isu rumah tangga

Pelawak dan pelakon Along Cham menjadi tumpuan susulan beberapa siri kontroversi peribadi yang membabitkan isu rumah tangga dan dakwaan memiliki dan memasukkan bahan terlarang ke dalam badan.

Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, ditahan pada Disember 2024 dan kemudian didakwa di mahkamah pada awal tahun ini atas pertuduhan berikut.

Dalam tiga pertuduhan, Along didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis dan memasukkan dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ ke dalam badan.

Along tidak menafikan pengalaman berada dalam tahanan Penjara Sungai Buloh, awal Februari lalu, sebagai detik menginsafkan dan pengalaman malangnya itu membawa malapetaka dalam kariernya.

“Ini tragedi dalam hidup saya.Karier memang agak terjejas, tetapi, Alhamdulillah saya mula dapat sokongan semula daripada teman rapat dan peminat. Cuma segelintir tetap memandang serong kepada saya,” katanya.

Kemudian, selepas hampir setahun naik turun mahkamah, Along Cham dan isterinya, Afreena Suhaimi akhirnya bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, pada 30 September lalu.

Along mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April 2024, namun, mahligai itu hanya mampu bertahan beberapa bulan.


Isu dua anggota Senario, Saiful Apek dan Yassin Yahya

Pelawak Saiful Apek, 56, juga meraih perhatian selepas timbulnya laporan kelibat seorang pelawak memakai baju merah jambu yang menyamai Saiful Apek ditahan oleh dua anggota polis.

Bagaimanapun, Apek menjelaskan dia bukan ditahan, sebaliknya foto yang tular dirakamkan ketika polis sedang meleraikan pertelingkahan membabitkannya dan seorang individu tidak dikenali.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2003 itu berkata, ketegangan itu mula tercetus berpunca tindakan individu berkenaan memperlekehkan filem lakonannya, 6 Jilake dan pengarahnya, Aziz M Osman.

Apek berkata, insiden itu berlaku ketika menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Cheras, sekitar April lalu.

Susulan itu, Apek memohon maaf kepada keluarga dan sahabat yang turut terpalit dalam kontroversi ini.

Sebelum itu, salah seorang anggota Senario, Yassin Yahya juga kecoh diperkatakan apabila ditahan pihak berkuasa Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah ketika transit ke Madinah dan dimasukkan ke lokap khas tahanan dadah.

Yassin kemudiannya menjalani penjara selama enam bulan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman semasa tempoh perbicaraannya pada November tahun lalu. Dia hanya mendedahkan perkara itu selepas pulang ke Malaysia pada April lalu.

Yassin mengakui insiden penahanan di Jeddah selama enam bulan 20 hari bermula November tahun lalu sebagai satu pengajaran bermakna bagi dirinya.

Tetapi, pelawak berusia 47 tahun itu, pengalaman berkenaan langsung tidak meninggalkan trauma sekiranya mahu kembali ke negara tersebut untuk sebarang urusan pada masa depan.


Konflik Shila Amzah dan Amy Search

Kontroversi antara Shila Amzah dan Amy Search tercetus pada 10 Julai 2025 apabila Shila membuat laporan polis mendakwa diserang Datuk Suhaimi Abdul Rahman, 67, atau Amy Search, secara terbuka di hadapan kru produksi ketika sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 MR DIY di Stadium Merdeka.

Siasatan polis kemudian mendedahkan punca kejadian disebabkan rasa tidak puas hati penyanyi lagenda berkenaan terhadap pengadu yang didakwa mencampuri urusan masalah keluarganya.

Amy pula tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 16 Julai lalu. Amy yang diwakili peguamnya, Datuk M Reza Hassan menghantar notis tuntutan (LOD) kepada Shila.

Sebelum itu, Shila atau nama sebenar, Nurshahila Amir Amzah, 35, juga memuat naik hantaran di Instagram (IG) dengan meluahkan rasa kecewa dan trauma terhadap kejadian yang berlaku itu.

Shila juga meluahkan insiden itu membuatkan dirinya mengalami kebimbangan melampau atau anxiety.


Black dan Eddie menjelaskan keputusan mengundur diri daripada Wings dibuat secara bersama demi kejujuran terhadap diri sendiri dan peminat. -NSTP/Hari Anggara
Black dan Eddie menjelaskan keputusan mengundur diri daripada Wings dibuat secara bersama demi kejujuran terhadap diri sendiri dan peminat. -NSTP/Hari Anggara

Pengunduran dua anggota Wings

Dua anggota kumpulan rock legenda, Wings, iaitu pemain dram Black dan pemain bes Eddie secara mengejut mengumumkan pengunduran daripada kumpulan itu pada Oktober lalu, selepas hampir empat dekad bergiat aktif dalam industri muzik tanah air.

Selepas dua bulan berdiam diri, Black akhirnya tampil bersuara bersama Eddie dan mengakui bahawa tekanan emosi serta kejujuran terhadap diri sendiri menjadi punca utama keputusan mereka untuk berundur.

Black menegaskan, keputusan meninggalkan Wings bukan dibuat secara tergesa-gesa atau dengan niat menganiaya mana-mana pihak, sebaliknya hasil perbincangan yang dibuat secara terbuka dan jujur antara mereka berdua.

“Kami berbincang dari hati ke hati sebelum sepakat berundur. Bukan kami tidak mahu terus berkarya bersama Wings, tetapi keadaan ketika itu tidak mengizinkan. Kami juga sangat ralat kerana tidak dapat bersama pada sambutan ulang tahun ke-40,” katanya.

“Saya tidak mahu bersikap hipokrit atau menipu diri sendiri. Bermuzik tidak boleh dilakukan secara pura-pura gembira sedangkan jiwa saya tidak lagi merasai keseronokan itu,” katanya.

Sementara itu, Eddie menjelaskan keputusan berkenaan dibuat secara bersama selepas meneliti pelbagai sudut demi kebaikan semua pihak yang terbabit.

“Keputusan ini kami buat bersama. Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan,” kata Eddie ringkas.

Dalam pada itu, Black dan Eddie mendoakan yang terbaik buat Wings dan berharap kumpulan berkenaan terus mampu berkarya serta mengekalkan legasi mereka dalam industri muzik tanah air.


 Zahnita Wilson
Zahnita Wilson

Zahnita mangsa keganasan rumah tangga

Bekas pelakon dan model terkenal, Zahnita Wilson mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Susulan pendedahan itu, suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan pada 4 Disember 2024 atas dua pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan terhadap isteri serta kes berkaitan dadah.

Bagaimanapun, Abdul Zachery mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Zahnita mengambil keputusan untuk memfailkan perceraian selepas mendakwa tiada usaha daripada suaminya untuk menyelamatkan rumah tangga mereka yang dibina hampir 20 tahun.

Mac lalu, Abdul Zachery memaklumkan bahawa pihak mahkamah menggugurkan pertuduhan terhadapnya berkaitan dakwaan mendera empat orang anak mereka, selain membenarkannya mendapat hak lawatan dan bermalam.

Abdul Zachery dan Zahnita mendirikan rumah tangga pada 2005 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18; Zasharayna Ghouse, 13; Zahlia Syawwal, 8; dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun.


Konflik rumah tangga Kamal Adli, Uqasha Senrose

Rumah tangga pasangan selebriti, Kamal Adli dan Uqasha Senrose menjadi perhatian ramai selepas isu penceraian mereka mencetuskan kontroversi dan perbincangan hangat dalam media sosial.

Uqasha dilaporkan memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal selepas mendakwa wujud konflik berpanjangan dalam perkahwinan mereka yang dibina sejak November 2021.

Uqasha turut membuat dakwaan menjadi mangsa keganasan fizikal, mental dan emosi, termasuk ketika sedang hamil.

Bagaimanapun, Kamal menafikan semua dakwaan itu dan menegaskan dia tidak pernah melakukan perbuatan seperti yang didakwa, malah mencabar kesahihan bukti yang dikemukakan.

Kes pasangan itu kini dalam proses Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) mengesahkan berlakunya pertengkaran berpanjangan atau shiqaq dalam perkahwinan mereka.

Mahkamah sebelum ini menasihati Kamal supaya melafazkan cerai terhadap isterinya, namun perkara itu tidak ditunaikan kerana dia masih mahu mempertahankan rumah tangga yang dibina.

Uqasha dan Kamal berkahwin pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 19 bulan.


Fattah dan Amira disatukan sebagai suami isteri pada 14 September lalu.
Fattah dan Amira disatukan sebagai suami isteri pada 14 September lalu.

Wedding of the Year – Fattmira, Erra dan Ezwan

Selepas sekian lama menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat, pasangan selebriti sensasi, Fattah Amin, 35, dan Amira Othman, 32, akhirnya menamatkan teka-teki apabila mengumumkan mahu disatukan sebagai suami isteri pada 14 September lalu.

Pengumuman itu sekali gus merungkai segala spekulasi yang berlegar sejak akhir tahun lalu apabila setiap kemunculan dan kerjasama mereka sering menjadi perhatian peminat.

“Saya mengumumkan kami akan bertukar status daripada sekerja kepada rakan serumah,” kata Fattah ketika membuat pengumuman pernikahan pada majlis pelancaran single duet Rasa & Takdir dendangan Amira dan adiknya, Irfan Haris.

Fattah selamat bernikah dengan Amira dengan sekali lafaz di sebuah hotel di Sepang pada 14 September lalu jam 9.07 malam. Pasangan itu dinikahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan berwakil wali bapa pengantin perempuan, Othman Abdul Kadir.

Sementara itu, selepas dua tahun berkenalan, primadona filem Melayu, Erra Fazira, 51, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamad Ezwan Mohamad Zain, 44, dengan sekali lafaz pada jam 9.20 pagi, 12 Disember lalu.

Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Noordin dalam suasana penuh barakah di ruang acara Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang.

Pada majlis berkenaan, Ezwan menyerahkan mas kahwin berupa 24 dinar emas kepada Erra.

“Kami ada matlamat hendak besarkan anak-anak. Saya pegang kata-kata Ezwan, nak ‘sedaging’. Bagaimana nak jadi ‘sedaging’?

“Bermakna semuanya perlu sepakat, saling setuju dan faham. Kalau ada yang tak kena, kami akan berbincang secara terbuka. Saya rasa ini lebih matang dan relaks,” kata Erra mengulas mengenai perkahwinan itu.

Erra Fazira sah bergelar isteri Mohamad Ezwan pada 12 Disember lalu.
Erra Fazira sah bergelar isteri Mohamad Ezwan pada 12 Disember lalu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *