Kuala Lumpur: Suami Erra Fazira, iaitu Ezwan Zain membuat kejutan dengan menghadiahkan lagu genre broadway yang dicipta khas buat isteri tersayang berjudul Cinta Erra.

Pada majlis resepsi bertemakan When Two World Collide itu, Ezwan mendendangkan lagu sambil menari sebagai hadiah buat isterinya.

Ezwan yang merancang sepenuhnya majlis resepsi pada malam tadi memilih konsep broadway dan jazz berikutan kira-kira 500 tetamu turut dihiburkan dengan persembahan Noryn Aziz dan Sean Ghazi dengan rangkaian lagu daripada genre itu.

Pada majlis itu juga, Ezwan mahu penonton merasai lima eleman iaitu rasa, lihat, bau, bunyi dan cahaya menerusi dekorasi yang dihias di luar dan dalam dewan.

Majlis resepsi itu juga tidak dihiasi walau sekuntum bunga, sebaliknya ruang dewan dipenuhi dengan lilin.

Menurut Ezwan dalam ucapan pada majlis yang disiar secara ‘live’ di YouTube, Kasionz itu mengakui kesabaran teruji bagi menzahirkan majlis resepsi istimewa buat Erra.

“Majlis ini dirancang khas untuk awak (Erra) yang layak diraikan dengan penuh kasih, keindahan dan ketenangan. Walaupun kita semua tahu perancangan perkahwinan memang menguji sedikit kesabaran, namun Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya.

“Terima kasih kerana pilih saya serta atas kepercayaan, kesabaran dan kasih sayang diberi. Saya berjanji kita akan terus bersama, belajar dan sentiasa berada di sisi awak.

“Saya mungkin tidak sempurna, tetapi saya berjanji di hadapan semua yang hadir pada malam ini untuk menjaga amanah ini sebaiknya serta bina rumah tangga yang sakinah dan mawadah,” katanya.

Sementara itu, Erra yang anggun dalam persalinan rona rose gold rekaan Fizi Woo berjanji untuk menjadi isteri yang baik buat Ezwan.

“Saya puji suami saya Ezwan Zain kerana melakukan segala-galanya. Saya rasa sangat bertuah atas penat lelah dan pengorbanannya yang tidak tidur malam semata-mata untuk majlis pada malam ini.

“Malah, sehingga melangkah ke dalam dewan, dia masih lagi bimbangkan semua orang dan mahukan semua tetamu gembira .

“Saya akan semat memori ini selama-lamanya dan bimbinglah saya dengan baik. Saya ingin jadi isteri yang baik buat awak,” katanya.

Selain Noryn Aziz dan Sean Ghazi, Ning Baizura turut mendendangkan dua lagu untuk Erra bersama pasangannya.

Erra dan Ezwan bernikah di Kampung Melayu Subang, Shah Alam pada 12 Disember lalu.

Pasangan itu kemudian diraikan dalam majlis resepsi, keesokkannya, khusus buat keluarga dan rakan media bertemakan klasik.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *