Ezad teruja apabila bakal menjalani sesi uji bakat untuk menggantikan Mamat. Bagaimanapun sesi itu bukan diadakan di studio, sebaliknya hanya di rumah anggota Exists sahaja.
“Kat rumah saja. Along main gitar dan tanya lagu apa kau nak nyanyi? Saya pun menyanyi lagu yang pernah saya nyanyi. Lepas itu Along tanya saya sama ada boleh buat lagu. Saya pegang gitar main lagu dan cakap saya cipta sendiri.
“Dia cakap okay…Tak apa. Lepas habis ‘audition’ itu, dia bawa sekejap pergi BMG. Rekod sikitlah untuk buat demo kat Studio Wings di sebelah situ. Kemudian okay kami balik. Itu saja uji bakat dia tanpa apa-apa jawapan.
“Selepas itu dah tak ada uji bakat. Kebetulan pula satu hari itu saya sedang baca akhbar dan nampak maklumat bahawa Exists buat ‘audition’ nak cari penyanyi. Dia buat meluas pula,” katanya.
Ezad mula panik kerana takut nanti orang lain pula akan diambil sebagai penyanyi Exists dan nekad untuk pergi ke sesi itu.
“Saya pergi juga naik bas dengan ayah. Exists terkejut nampak saya datang sampai kata, weh! datang lagi kau? Yang kali ini saya tak cakap dengan mereka. Saya pergi sendiri.
“Okay saya nyanyi juga. Masa itu tengah semangat kan. Memang saya akuilah, mungkin faktor rupa kurang atau faktor lain saya tak tahulah jadi punca saya tak jadi pilihan. Sebab dulu pernah juga bila dalam BMG pun ada cakap, Ezad ini dari segi rupa tak berapa sangat. Lepas itu suara sengau.


“Benda ini disebut oleh seorang komposer yang bekerja dengan BMG. Saya ingat lagi, arwah Jay Jay pernah ‘backup’ saya kerana lihat bakat yang ada pada saya,” katanya.
Berbalik kepada sesi uji bakat kedua, kali ini dibuat secara sempurna dengan kehadiran semua anggota Exists serta orang kuat BMG Music ketika itu, Aziz Bakar di Studio Wings.
“Tapi yang lain diam kecuali Along yang main gitar sebab mereka hanya nak dengar nyanyian saya. Habis ‘audition’, saya balik Kedah dan sama juga tak dapat jawapan. Dalam masa sama saya dengar ura-ura mereka nak ambil Joey Daud.
“Asalnya memang mereka rancang nak gunakan Joey dan sepatutnya Joey jadi penyanyi Exists masa itu. Tapi sebab Joey artis Luncai Emas (milik Datuk M Nasir) dan mungkin ada masalah berkaitan kontrak, ia tak dapat jadi kenyataan.
“Jadi mungkin dah lama sangat mereka tunggu. Saya pula kerap call untuk tanya khabar, dah makan ke belum? Dulu saya belum ada ‘handphone’. Jadi saya guna telefon awam untuk ‘call’ Musa sebab dia saja yang ada telefon,” katanya.
Ezad mengakui sampai satu tahap sudah putus asa dan tidak mengharapkan apa-apa lagi.
Bagaimanapun, panggilan telefon yang diterima pada suatu hari mengubah segala-galanya dalam hidupnya.