Kuala Lumpur: Tidak timbul rasa serik dan trauma, pelawak juga anggota Senario, Yassin menyifatkan insiden penahanannya di Jeddah, Arab Saudi sebelum ini sebagai satu musibah yang perlu disyukurinya.
Yassin atau nama sebenarnya Yassin Yahya, 47, berkata dia menganggap kesilapan boleh berlaku tidak mengenal masa atau tempat sekali gus perlu dijadikan pengajaran pada masa mendatang.
“Bagi saya trauma itu tak ada dalam kamus diri sebab saya tak tahu perjalanan hidup akan datang. Mungkin Allah nak uji lebih hebat, saya tak tahu, tak boleh riak dengan kata-kata saya.
“Tapi dari segi trauma, saya pun ada macam-macam pengalaman sebelum ini. Saya lalui perkara itu yang mengajar saya untuk menempuh hari-hari akan datang. Saya pun bukan budak lagi.
Yassin juga berkongsi penahanannya selama enam bulan 20 hari di lokap polis Jeddah sebelum ditempatkan di Pusat Pentadbiran dan Pengusiran Warga Negara Asing, Jeddah itu ada hikmah tersendiri.
“Saya bersyukur dapat rasa bulan puasa, raya di sana. Tak adalah saya rasa kekok sebab kedai ada, duduk atas katil, duduk dalam ‘aircond’, ada TV, ada telefon. Hari-hari saya boleh berhubung dengan famili.
“Jadi tak ada rasa gangguan mental kat sana. Dapat berhubung, tinggalkan ‘voice note’ pada ahli-ahli Senario yang lain. Baik-baik sahaja, itu yang saya berisi sedikitlah. Saya boleh bagi tujuh bintang (layanan).
“Saya amat bersyukur kepada pihak yang betul-betul membantu seperti konsulat kita di Jeddah. Memang tak ada siapa yang dapat ‘tembus’ melainkan kita punya kedutaan,” katanya.
Menjelaskan mengenai status kemasukannya ke Jeddah selepas ini, pelakon filem Man Laksa itu berkata, isu dihadapinya sebelum ini sudah selesai dan dia berhajat kembali ke sana membawa keluarga dan Senario.
“Boleh masuk balik (ke Jeddah), tapi kalau boleh saya nak masuk selepas ini, nak buat persiapan yang lebih. Waktu itu saya datang sebab orang taja dan pertama kali pergi kelam-kabut.
“Mungkin saya nak masuk dengan keluarga selepas ini. Kalau boleh saya punya hajat adalah nak masuk dengan Senario sekali,” katanya.
Terdahulu, Yassin mendedahkan punca sebenar insiden penahanannya di Jeddah disebabkan dia membawa barang mencurigakan mengandungi lambang larangan.
Pendedahan terbabit dibuat menerusi audio siar Darkcast, Episod Khas – Yassin Yahya: Bersalah atau ??? bersama Saiful Apek yang disiarkan di saluran YouTube Gitu Gitu Studio sekitar hujung Mei lalu.
Dia juga memaafkan pihak yang menyebarkan fitnah bahawa dirinya ditahan di Lapangan Terbang Jeddah atas kesalahan berkaitan dadah.
Dalam perkembangan lain, Yassin bakal menjayakan konsert mega The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun bersama lima anggota lainnya dalam acara anjuran Dreamscape Events dan terbitan Kapla Entertainment itu.
Konsert terbabit akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 25 April tahun depan.