Kuala Lumpur : Filem animasi Papa Zola The Movie terhasil daripada inspirasi pengalaman, maklum balas penonton dan ujian penceritaan teliti sejak era BoBoiBoy Movie 2.

Demikian menurut Pengarah filem merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Monsta Studios, Nizam Abd Razak apabila ditanya mengenai strategi menghasilkan Papa Zola The Movie berbanding memilih hasilkan naskhah Papa Pipi ke layar perak.

“Selepas BoBoiBoy Movie 2 pada 2019, kami dapat banyak maklum balas. Ada yang kata Papa Zola ‘kacau’ dalam filem sebab BoBoiBoy hendak menuju ke arah penceritaan lebih matang. Jadi, bila Papa Zola masuk saja, dia buat lawak. Jadi ada peminat yang sukakan konsep superhero seperti ‘Avenger’,” katanya.

Menurut Nizam, siri BoBoiBoy juga sudah mempunyai watak lucu seperti Gopal, AduDu dan lain-lain.

“BoBoiBoy sendiri pun dah semakin kompleks dan boleh pecah tujuh. Selepas itu dia jumpa lima lagi karakter yang masing-masing boleh ‘upgrade’. Memang tak cukup masa nak muatkan semua watak. Jadi kami fikir lebih baik keluarkan Papa Zola dan jadikan dia siri berasingan,” katanya.

Tambah Nizam, keputusan itu membawa kepada kelahiran projek awal Papa Zola ketika era pandemik.

Katanya, pada tahun 2019 hingga 2020, ketika pandemik Covid-19, projek pertama mereka ialah PSA tentang Covid.

“Ramai suka sebab ia dari perspektif keluarga dan kanak-kanak. Dari situ kami buat lagu, buat video pendek dan orang mula nampak hubungan ayah anak dan suami isteri itu adalah tema universal,” kata Nizam yang mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa peminat.

Menurutnya, mungkin ramai yang tidak menyangka apabila video yang menduduki tangga pertama di Monsta bukannya BoBoiBoy atau Mechamato tetapi Papa Pipi. Episod itu mendapat 680 juta tontonan.

Melihat potensi itu, Nizam berkata, mereka mula menguji kemampuan penceritaan yang lebih menyentuh emosi.

“Kami tahu kalau Papa Zola dibawa sebagai cerita dewasa, mesti ada elemen sedih. Jadi kami buat ujian, kami hasilkan Kembali Aidilfitri BoBoiBoy, walaupun ia lebih dekat dengan BoBoiBoy tapi ada elemen sedih.

“Kemudian kami buat Papa Pipi Pindah, tentang Papa yang tak mampu bayar rumah dan terpaksa berpindah. Ramai penonton menangis. Dari situ kami yakin ada ‘material’ dan gaya pengarahan yang sesuai,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana Papa Zola The Movie.

Menurut Nizam, hanya selepas beberapa siri ujian itu berjaya, barulah mereka berani membawa Papa Zola ke layar lebar sebagai filem penuh.

Papa Zola The Movie ditayangkan di seluruh pawagam negara bermula Khamis ini.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *