Kuala Lumpur: Pelakon watak gangster, Daddy Rock kini berada di zon kritikal Hospital Selayang dan ditidurkan berikutan kedua-dua kakinya tidak lagi berfungsi dipercayai akibat darah beku.
Berita sedih berkaitan kesihatan Daddy Rock atau nama sebenarnya Shahrul Azman Mohd Shahril ini dikongsikan pengarah, Hashim Rejab pada hantaran dimuatnaik di Facebook.
Hashim turut berkongsi hantaran gambar Daddy Rock ditidurkan dan menggunakan bantuan alat pernafasan, termasuk dua penjelasan keadaan lelaki itu yang dimuatnaik di InstaStory akaun Instagram (IG) Papa Rock Never Dai.
“Sekarang masih di zon merah Hospital Selayang,” tulis hantaran InstaStrory itu.
Pada hantaran berikutnya dimaklumkan mengenai Daddy Rock yang kini berada dalam kritikal dan doktor sudah menidurkannya termasuk kedua-dua kaki didakwa sudah tidak berfungsi lagi.
“Salam semua Daddy Rock sekarang berada di Hospital Selayang, zon merah sementara nak bawa ke wad 4B di tingkat empat. Daddy sekarang dalam kritikal, doktor tidurkan Daddy.
“Kaki kedua-dua tidak berfungsi lagi seumpama dah mati punca darah beku dah tersekat di bawah perut, tak salur lagi ke kaki Daddy jadinya kaki Daddy dah mati.
“Ikutkan kata doktor kaki Daddy harus dipotong tapi berisiko tinggi..atau biar Daddy macam itu saja selama mana dia bertahan. Harap siapa yang baca status ini doakan untuk Daddy ye.. Daddy kena masa birthday dia semalam,” ujar lanjut hantaran itu.
Rata-rata mereka yang mengenali Daddy Rock di Facebook Hashim itu mendoakan agar dia diberikan kesembuhan kesihatan oleh Allah dan dipermudahkan segala urusan.
Pada Oktober 2021, Daddy Rock pernah dirawat di sebuah pusat perubatan di Bukit Rimau, Shah Alam selepas menjalani proses memasukkan sten bagi mengembangkan saluran darah yang tersumbat agar jantung berfungsi semula.
Dalam bidang lakonan, Daddy Rock pernah membintangi filem dan drama antaranya Kisah Paling Gangster, Jangan Pandang Belakang, Bohsia, Kampung People dan Gerak Khas sebagai watak antagonis.