Kasih sayang ibu terhadap anak, begitu juga kasih sayang anak terhadap ibu sukar digambarkan. Apatah lagi, bagi seorang anak lelaki yang begitu rapat dengan ibunya.

Luahan ketulusan hati pelakon terkenal Indonesia, Reza Rahadian, 38, pada ucapan di Festival Filem Indonesia (FFI) 2025, baru-baru ini apabila menang anugerah Filem Cerita Panjang Terbaik amat menyentuh perasaan.

Sekalipun ketika ini Reza berada di puncak kejayaan dalam karier sebagai pelakon dan pengarah, dia tetap memuliakan ibunya yang bersusah payah dalam membesarkannya.

“Mama saya yang ada di rumah dan beritahu saya doa mama berserta,” katanya dalam ucapan itu.

Sejak kecil Reza sentiasa mahu membahagia dan menggembirakan ibunya termasuk sanggup menjadi pemotong rumput untuk membantu wanita itu mencari pendapatan.

Berbicara mengenai karier seninya, pelakon utama filem Habibie & Ainun ini berkata, dia bersyukur apabila rezekinya tidak putus.

“Kesibukan di set penggambaran lakonan dengan jadual padat, tapi ini rezeki dan saya sangat bersyukur.

“Semua ini (rezeki) daripada doa mama yang sangat saya sayangi. Saya tahu mama selalu menitip doa buat saya,” katanya.

Sudah 21 tahun aktif berlakon sejak 2004, Reza bukan sekadar jadi perhatian produksi di Indonesia, namun bakatnya juga dikembangkan sehingga ke luar negara seberang itu.

Bagi Reza, dia tiada masalah untuk bekerja dengan mana-mana produksi filem dari luar Indonesia asalkan skrip dan jalan cerita berkualiti.

Buktinya, Reza sebelum ini pernah membintangi siri Halfworlds bergenre penyiasatan misteri musim pertama dan kedua yang ditayangkan HBO Asia.

Dalam siri ini, Reza berganding dengan pelakon Bront Palarae dan untuk itu dia difahamkan terbuka sekiranya dapat peluang berlakon di Malaysia

“Sekiranya ada peluang, saya mahu berlakon dengan Zizan Razak dan Sharifah Amani kerana kagum pada lakonan mereka,” katanya.

Reza bagaimanapun mengakui pernah mendapat tawaran berlakon di Malaysia sebelum ini, namun terpaksa menolaknya kerana kekangan masa dan jadual kerja yang padat.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *