Kuala Lumpur: Penyanyi Yazmin Aziz, 24, bakal berentap dengan enam lagi finalis dari pelbagai negara di pentas akhir pertandingan nyanyian Silk Way Star yang berlangsung di Kazakhstan, esok.
Yazmin atau Yazmin Aldwin Abdul Aziz yang menjadi satu-satunya wakil dari Asia Tenggara ke pertandingan itu menyerahkan kepada rezeki jika menang dan bangga dapat mewakili Malaysia.
“Saya sangat berharap perjalanan ini membuka lebih banyak pintu untuk saya dan muzik Malaysia di pentas dunia kalau ada rezeki menang, alhamdulillah.
“Saya sangat-sangat bersyukur kerana sudah lama saya berusaha dalam industri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepanjang pertandingan itu, Yazmin berjaya mempamerkan prestasi sangat membanggakan selepas dinobatkan sebagai juara mingguan sebanyak empat kali.
Yazmin juga memohon sokongan daripada rakyat Malaysia untuk mengundinya bagi menjamin kemenangannya dalam program terbabit.
Dia bakal berentap dengan ALEM dari Kazakhstan, Avtandil Abeslamidze (Georgia), Michelle Joseph (Mongolia), Zhang Hexuan (China), Saro Gevorgyan (Armenia), dan Madinabonu Adilova (Uzbekistan).
Untuk pentas akhir, Yazmin bakal mempersembah sebuah lagu istimewa yang menggabungkan instrumen tradisional Melayu dan Kazakhstan.
Pemenang pertandingan itu bakal dinilai secara 50 peratus daripada juri dan 50 peratus menerusi undian penonton.