TAWARAN membintangi Filem Anak Mami Jarum: Dalca Cinta Kerabu ibarat ‘bulan jatuh ke riba’ bagi pempengaruh media sosial, Lela Tete.

Apakan tidak, impian untuk bergelar pelakon sejak kecil akhirnya menjadi kenyataan.

Tambahan pula filem pertamanya adalah ‘kerja tangan’ orang lama iaitu pengarah tersohor Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen.

“Tahun lalu, ketika berada di hadapan Kaabah semasa menunaikan umrah di Tanah Suci, saya berdoa supaya dikurniakan rezeki bergelar seorang pelakon.

“Alhamdulillah ia makbul dan kini saya perlu buat sebaiknya apabila sudah dapat peluang.

“Selama empat tahun menjadi influencer (pempengaruh), filem ini jadi batu loncatan untuk ke langkah seterusnya.”

“Sudah tentu pembahagian masa antara kedua-duanya menjadi cabaran. Jalan hidup ini yang saya pilih, jadi saya perlu tempuhi.” ujar anak kelahiran Pulau Mutiara itu.

Bercerita mengenai wataknya sebagai Zakiah dalam filem itu digambarkan sebagai seorang yang suka memberontak dan degil, namun masih menghormati serta mengambil hati ibunya.

“Filem Prof (Razak) memang sudah ada peminatnya. Namun, perlu diingatkan ia bukan kesinambungan filem terdahulu, jadi janganlah terlalu mengharapkan seperti itu.

“Jalan ceritanya memang ‘huru hara’ bak kata orang Utara susulan pertembungan budaya dari keluarga Pulau Pinang dan Kelantan, namun itulah yang menjadikan ia sebagai istimewa.

“Pelakon senior seperti Apek Senario, Rozita Che Wan, Sheila Mambo, Sabri Yunus dan lain-lagi juga banyak beri tunjuk ajar,” katanya.

Filem Anak Mami Jarum: Dalca Cinta Kerabu kini menjalani penggambaran di sekitar Pulau Pinang termasuk Georgetown, Batu Feringghi, Balik Pulau dan Seberang Perai serta dijangka berakhir pada hujung bulan ini.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *