Kuala Lumpur: “Pelakon utama serta pembantu mesti kena bintang veteran,” kata Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac.
Hans dihubungi Harian Metro berkata, syarat itu ditetapkan terhadap penerima Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) yang diperkenalkan FINAS kerana objektifnya adalah untuk membantu penggiat seni veteran.
“Ini adalah kali pertama FINAS melaksanakan satu inisiatif begini dan esok akan dibuka untuk mana-mana syarikat untuk memohon.
“Ia macam Dana Kandungan Kreatif (DKK) untuk ‘pitching’, untuk projek-projek untuk veteran di mana 60 peratus dari pekerja-pekerja projek itu adalah lebih kepada usia 55 tahun ke atas.
“40 peratus dipilih oleh penerbit itu. Ini adalah ‘pilot’ projek, mungkin pada masa depan kami akan tingkatkan kepada 80 peratus veteran, manakala 20 peratus mana-mana usia,” katanya.
Hans berkata, inisiatif ini dilaksanakan agak cepat kerana dia mendapat idea ini beberapa bulan lepas sebagai cara untuk cuba membantu pelakon veteran untuk kembali ke set penggambaran dan mencari rezeki.
“Ini juga membenarkan mereka mendapat KWSP dan SOCSO sebab setiap pekerja di bawah projek ini, penerbit itu harus membayar KWSP dan SOCSO.
“Tiada tema tertentu ditetapkan untuk supertelefilem. Masuk pitching dan kita akan nilai. Cerita apa pun kita akan tengok. Ia tak ada had kepada cinta atau apa-apa.
“Janji idea bagus dan mereka kena dipantau oleh FINAS dalam segi bayaran kepada artis dan pekerja. Projek itu akan ditayangkan di stesen-stesen TV kita dengan bantuan FINAS,” katanya.
Tidak terkecuali FINAS akan melakukan audit di hujung penggambaran projek terhadap penerbit yang terpilih.
“Projek ‘pilot’ ini dengan persetujuan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Datuk Seri Ketua Setiausaha (KSU) telah benarkan setakat lima projek ini anggaran dalam sejuta dulu.
“Kita harap-harap dapat buat lima projek supertele. FINAS selalu bantu industri seperti beri bantuan artis-artis yang tengah susah, di hospital ataupun ada isu-isu yang kita akan bantu.
“Tapi itu hanya one-off. Kita lihat stesen-stesen TV ini selalu buat cerita-cerita tentang cerita golongan muda dan terkini. Pelakon veteran hanya muncul dalam beberapa babak,” katanya.
Selain pelakon veteran yang akan membawakan watak utama dan pembantu, inisiatif ini juga membantu penggiat seni belakang tabir veteran antaranya jurukamera dan jurusolek produksi.
Hans turut memberi jaminan dana ini akan sampai ke tangan penerbit yang betul dan layak.
“Penerbit itu tentulah yang ada lesen FINAS dan semua dokumen. Banyak idea boleh dikeluarkan oleh penulis skrip bagi menghasilkan telefilem yang menarik.
“Kita nak selesaikan Dana STAR sebelum hujung tahun ini. Pitching semua termasuk secara online akan dibuat dalam bulan ini.
“Bulan depan kami akan tengok syarikat mana yang dapat dan selepas itu Menteri akan umumkan dan penerbit boleh mulakan penggambaran,” katanya.
Menurutnya, FINAS akan meletakkan seorang pegawai untuk setiap satu projek bagi dipantau setiap hari.
“Inisiatif untuk dana ini timbul bila saya masuk FINAS. Saya hadir sebagai pengerusi dan jumpa ramai bintang veteran. Tak cukup hanya bantu dengan sumbangan ‘one off’ sedangkan mereka nak kerja.
“Bila saya bincang dengan Menteri dan KSU, mereka pun setuju. Terima kasih kepada mereka yang sokong usaha ini dan laksanakan dengan cepat.
“Ini dianggap sebagai penanda aras bagi FINAS,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi melalui FINAS, semalam mengumumkan membuka permohonan STAR bermula 29 Ogos hingga 7 September ini.