Kuala Lumpur: Pempengaruh dan usahawan, Noor Nabila, 41, menitipkan ucapan istimewa buat bekas suaminya, pelakon popular, Sharnaaz Ahmad sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-40 hari ini sekali gus mencuri perhatian warganet.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Nabila atau nama sebenarnya, Noor Nabila Mohd Noor berkata, dia berterima kasih kepada Sharnaaz kerana bersetuju untuk mengasuh anak bersama (co-parenting) selepas perceraian mereka.

Katanya, ‘co-parenting’

tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya tiada kata sepakat dicapai.

“Orang selalu bertanya macam mana kami mampu menjayakan perjalanan ‘co-parenting’ ini. Hakikatnya, tiada panduan pun. Hanya dua insan yang pernah berkongsi segalanya.

“Dan kemudian memilih bukan untuk menyimpan luka sebaliknya berkongsi apa yang paling berharga iaitu seorang anak lelaki.

“Sebuah tujuan yang sama dan janji yang terukir sejak hari pertama kami mendukung Jebat Jayden,” katanya.

Pada masa sama, Nabila turut berterima kasih kepada Sharnaaz kerana memegang dan menunaikan janji yang pernah dibuat dulu.

“Terima kasih kerana menunaikan janji itu bersama saya. Kerana memilih ketenangan daripada ego. Kerana tetap berdiri sebagai satu pasukan.

“Dan kerana tidak pernah gagal hadir untuk anak kecil yang menjadikan kita ibu dan ayah.

“Saya bangga melihat siapa diri awak hari ini dan amat menghargai peranan awak sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab dan penyayang,” katanya.

Untuk rekod, Nabila sebelum ini pernah berkahwin dengan Sharnaaz pada April 2017, namun berpisah pada 9 Julai 2020.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Jebat Jayden yang kini berusia 7 tahun.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *