JASA penyanyi, dR Sam Rasputin, 72, mempopularkan lagu patriotik Saya Anak Malaysia amat besar dalam pembentukan semangat muhibah masyarakat berbilang kaum negara ini.
Justeru, sebagai menghargai jasanya, Arina Skyview Kuala Lumpur menganjurkan program makan malam Saya Anak Malaysia bersama dR Sam – Ikon Lagu Patriotik & Seniman Dakwah pada 31 Ogos ini jam 8 malam di Arina Skyview Kuala Lumpur, Kampung Baru.
Wakil penganjur, Ayob Abdul Majid, berkata majlis makan malam istimewa ini diadakan bagi meraikan dR Sam atau nama sebenarnya, Salim Ibrahim.
“Populariti lagu itu sangat hebat. Ia bukan aja menjadi siulan masyarakat berbilang kaum setiap kali tibanya bulan Ogos, malah turut dikenali generasi muda termasuk anak-anak kecil di era TikTok.
“Jadi, amat wajar semua pihak meraikan beliau semasa hayatnya masih ada. Kalau kita lihat, orang amat mengenalinya jika terserempak di mana-mana,” katanya.
Ayob berkata, majlis itu turut menampilkan persembahan artis seperti bekas penyanyi Wings, Mel, Iwan Syahman dan Kodan Raja Lawak.
Menurutnya, sumbangan dR Sam yang dianggap sebagai ikon negara bukan saja dalam bidang seni, malah beliau juga aktif dalam aktiviti dakwah dengan membawa ramai anak muda dan artis menyertai jemaah tabligh.

“Saya terpanggil untuk mengadakan program ini selepas cadangan saya kepada pihak tertentu untuk menganjurkan penghargaan kepada dR Sam tidak mendapat sambutan.
“Namun, saya tetap berusaha menjayakan acara ini demi mengenang jasa beliau dalam industri muzik dan dakwah.
“Majlis ini bukan saja meraikan jasa seni, malah menjadi simbol penghargaan kepada perjuangan seni yang menyatukan rakyat,” katanya.
Sementara itu, dR Sam dalam satu temubual dipetik sebagai berkata, dia terharu setiap kali melihat rakyat Malaysia bersama-sama mendendangkan lagu Saya Anak Malaysia dengan sepenuh jiwa, apabila mendengar ia dimainkan.
“Syukur pada Allah. Saya terharu melihat bukan orang Melayu sahaja boleh menyanyikan lagu ini, tetapi masyarakat Cina dan India juga akan menyanyi bersama-sama,” katanya.
dR Sam berkata, dia sebak setiap kali mendengar suara kanak-kanak sekolah dan golongan muda menyanyikan lagu itu, walaupun mereka secara peribadi tidak mengenalinya sebagai seorang artis.
“Walaupun lagu itu sudah berusia 39 tahun, hingga sekarang orang masih menyanyikannya. Malah budak-budak pun boleh hafal liriknya,” katanya.
Lagu Saya Anak Malaysia ciptaan dR Sam dan lirik oleh S Amin Shahab itu dimuatkan dalam album dR Sam & Musafir dengan judul yang sama pada 1986.