Drama rantaian pernah popular di TikTok, Di Sebalik Permata kembali menjadi sebutan ramai dengan mempertaruhkan kisah percintaan yang penuh emosi dan kejutan.
Pengikut setia musim pertama drama ini dapat menyaksikan musim kedua yang penuh ‘plot twist’ serta lebih banyak kejutan menggila dan lebih manipulatif bermula 6 Jun lalu.
Dibarisi pelakon berbakat tanah air antaranya Putri Damia, Mizy Razuan, Umar Mukhtar dan Jeremy Bong, Di Sebalik Permata musim kedua yang ditayangkan secara eksklusif di TikTok tidak hanya mampu membuatkan peminat terus menantikan episod baharu, tapi juga larut dalam emosi yang dilalui watak utamanya, Natasya.
Hari pertama siarannya, Di Sebalik Permata 2 arahan Faiz Munir terus menerima sambutan hebat apabila pengikut siri pertama drama ini tidak sabar mengetahui apa pengakhiran pada Natasya.
Menurut Faiz, tiga episod baharu akan ditayangkan di platform @tiktokdramamalaysia setiap hari dan setiap episod menjanjikan konflik percintaan yang lebih hebat berbanding musim pertama.
“Selepas drama Di Sebalik Permata musim pertama menerima maklum balas, iaitu dengan lebih 70 juta tontonan di TikTok, ramai peminat bertanya bila sambungan drama ini akan keluar.
“Kami akui banyak lagi jalan cerita Di Sebalik Permata yang boleh diterokai dan kami rasa ini masa yang tepat untuk kami sambung kisah Natasya dan Rayhan, tapi kali ini dengan konflik lebih berat dan emosi lebih mendalam,” katanya.
Tidak hanya itu, penerbit juga percaya netizen bakal tak senang duduk dan setia menanti tayangan seterusnya.
“Kalau musim pertama pun buat ramai penonton berperang di ruang komen, musim kedua ini mungkin lebih menggila.

“Kami bawakan elemen lebih gelap, manipulasi, fasa hilang ingatan, cinta toksik, dan watak baru yang misteri. Setiap episod direka dengan ‘cliffhanger’, jadi bersedialah, sebab banyak ‘plot twist’ pada musim baharu ini yang boleh buat netizen tak tidur malam,” katanya.
Sementara itu, besar harapan penerbitnya dari Mantayay Sdn Bhd untuk Di Sebalik Permata 2 menerima sambutan yang baik memandangkan ia disertakan elemen dan jalan cerita lebih menarik berbanding musim pertamanya.
“Musim kedua Di Sebalik Permata adalah penghargaan kami buat semua penonton.
“Harapan kami setiap episod bukan sekadar ditonton, tapi untuk dikongsikan! Kami tak sabar nak tengok reaksi TikTok bila klimaks musim ini ditayangkan,” katanya.
Terdahulu, pada Januari 2024, Di Sebalik Permata dilancarkan sebagai drama berbahasa Melayu pertama di TikTok Malaysia.
Berikutan penceritaannya yang menarik dan adegan penuh kontroversi, ia sekali gus tular selepas mencetus perbincangan hangat di media sosial.
Di Sebalik Permata musim kedua mengisahkan Natasya, lakonan Putri Damia yang berdepan situasi hilang ingatan dan diculikv bekas teman lelakinya yang obsesif, Akmal (Mizy Razuan).
Akmal memanipulasi Natasya untuk mempercayai mereka masih dalam hubungan.
Dalam pada itu, Rayhan (Umar Mukhtar), suami kepada Natasya yang benar-benar mencintainya, perlu berjuang untuk memenangi kembali kepercayaannya, membongkar kebenaran dan menyelamatkannya dari penipuan.
Ketika bertarung dalam fasa yang penuh kekeliruan, Natasya juga bertemu dengan jejaka baharu. Dengan siapakah Natasya akan bersama pada akhirnya?
Musim kedua ini menyelami identiti baharu dan perasaan dendam, mencabar semua yang kita fikir kita tahu menerusi musim pertama.