Kuala Lumpur: Penyanyi legenda, Salamiah Hassan, 74, masih menyimpan nota suara (voice note) milik suami tercinta, Allahyarham Gerry Hughes di telefon bimbitnya.
Salamiah mengakui suara itu satu-satunya cara untuk dia mengubat rindu selepas pemergian Allahyarham tiga tahun lalu.
Walaupun mendengar semula suara Allahyarham memberi kesan emosi yang mendalam, nota suara itu tetap menjadi antara kenangan paling bermakna dalam hidupnya.
“Saya masih ada ‘voice notes’ dia dalam telefon. Pernah juga rasa nak padam semuanya, tapi saya fikir kalau padam, saya tak akan dengar lagi suara dia.
“Saya tak dengar setiap hari kerana ia terlalu menyakitkan, tapi bila terlalu rindu, saya akan dengar semula,” katanya dalam sidang media Konsert Gelombang Bahagiaku di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.
Salamiah berkata, dia tidak berhasrat mencari pengganti selepas kehilangan suami yang dinikahinya pada 1 September 2022 itu. Allahyarham meninggal dunia akibat kanser dua bulan selepas itu.
“Saya mahu bertemu semula dengan suami di syurga, kalau diizinkan Allah. Dia seorang lelaki yang sangat baik, malah lebih pandai membaca al-Quran daripada saya,” katanya.
Salamiah berkata, dia pernah menolak lamaran Gerry kerana mahu fokus membesarkan anak-anak sebagai ibu tunggal.
Namun, selepas mengetahui penyakit yang dihidapi lelaki berasal dari Australia itu, hatinya terbuka untuk menerima lamaran demi menjaga insan yang mencintainya sepenuh jiwa.
Dalam perkembangan lain, Salamiah bakal mengadakan persembahan istimewa bersama anaknya, Atilia Haron menerusi Konsert Gelombang Bahagiaku di Plenary Theatre, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 16 Ogos ini.