“Hendak kata lama sangat pun tidak sebenarnya. Perkenalan kita tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, ia sangat bertepatan sebenarnya.”
Demikian luahan penyampai radio dan pengacara, Radin Amir Affendy Ahmad Aruani mengenai tempoh perkenalannya dengan suri hati, Nur Amirah Shamsulbahrin.
Selepas setahun menyimpan rahsia cinta daripada pengetahuan umum, pasangan ini akhirnya selamat diijabkabulkan dalam majlis cukup bermakna, baru-baru ini.
Radin menjelaskan keputusan untuk tidak mengumumkan hubungan mereka lebih awal adalah persetujuan bersama demi menjaga hati banyak pihak.
“Kami bersetuju untuk merahsiakan hubungan ini. Kita sudah di fasa matang, jadi saya rasa tidak perlu hendak menguar-uarkan benda yang belum sahih atau belum terjadi. Alhamdulillah, inilah harinya,” katanya.
Bagi Radin, personaliti unik yang dimiliki Amirah menjadi faktor utama yang menjentik hatinya.
Radin menyifatkan isterinya sebagai seorang yang jujur dan ikhlas walaupun pada zahirnya nampak begitu sopan dan lemah lembut.
“Karakter dia tidak sama dengan wajah dia. Kalau kita tengok wajah dia begini, sopan, ayu, santun kan? Tapi bila saya melihat kejujuran dia dan keikhlasan dia, dia bersama dengan saya,” katanya.
Sementara itu, Amirah, 37, yang juga ibu tunggal dengan tiga cahaya mata menyifatkan suaminya sebagai seorang lelaki yang mempunyai hati baik.
“Radin ini seorang yang sangat baik hati dengan semua orang, tidak kira siapa pun. Dia akan utamakan orang lain sebelum diri dia sendiri.
“Kadang-kadang dia bagi yang terbaik untuk orang walaupun layanan yang dia dapat tidak begitu. Jadi, sifat baik hati dia yang membuatkan dia seorang yang istimewa,” katanya.
Menyentuh soal kehidupan sebagai isteri kepada seorang selebriti, Amirah tenang menyatakan dia melihat kerjaya Radin hanyalah sebagai satu pekerjaan.
Walaupun mengakui tidak bersedia dengan populariti yang bakal mendepani kehidupannya, namun dia teguh berdiri di belakang suaminya.
“Sebagai isteri, ya, saya bersedia menyokong. Apa sahaja keputusan yang dia buat selagi tidak melanggar agama, tidak membelakangkan ibu bapa dan tidak bercanggah dengan adat Melayu kita, apa sahaja yang dia katakan, saya ikut,” katanya.
Kini, Radin bukan sahaja memegang gelaran suami, malah turut memikul amanah sebagai bapa kepada tiga anak Amirah yang masing-masing berusia 12, 11 dan sembilan tahun.
Amirah berkongsi anak-anaknya menerima kehadiran Radin dengan tangan terbuka kerana sifat penyayang yang ada pada lelaki itu.
Radin pula melihat tanggungjawab baharu ini dengan penuh optimis dan tidak menganggapnya sebagai satu bebanan.
“Saya ada Amirah, dan dia akan tolong saya, dia akan bersama-sama dengan saya. Saya rasa benda itu bukan bebanan untuk saya, ia adalah satu tanggungjawab yang baru,” katanya.
Pasangan ini turut merancang untuk menunaikan ibadah umrah bersama-sama selepas berakhirnya musim haji ini sebagai tanda syukur atas ikatan suci yang baru dibina.
“Mestilah ada perancangan untuk anak sendiri, insya-Allah dan sebenarnya untuk makluman semua, kami merancang untuk menunaikan umrah selepas hari raya haji nanti,” katanya.
Radin dan Amirah diijabkabulkan dalam satu majlis tertutup, dihadiri keluarga dan sahabat handai Radin termasuklah rakan media.
Kedua-dua mempelai dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan dengan mas kahwin RM15,020.26.