Subang Jaya: “Bagi saya, (perjuangan) dengan kumpulan V.I.P sudah berakhir sejak 2012 lagi.”

Demikian kata pelakon, Fadlan Hazim mengenai ketiadaannya dalam sesi kemunculan semula (comeback) kumpulan V.I.P pada Konsert Tukang Gempak Adam yang berlangsung, baru-baru ini.

Fadlan yang pernah menganggotai kumpulan itu menjelaskan dia tidak berkecil hati, namun mengakui tidak menerima sebarang jemputan daripada mana-mana pihak untuk menyertai persembahan berkenaan.

“Saya tidak tahu, mereka tidak mengajak saya. Hubungan itu sebenarnya masih ada dan kami masih berhubung, cuma saya tidak tahu mengapa mereka tidak mengajak saya sertai persembahan itu.

“Bagaimanapun, tidak ada terasa hati atau terkilan pun sebab bagi saya, bersama kumpulan itu memang sudah berakhir lama dulu,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Nar’sata: Sekutu Setan, di sini, semalam.

Fadlan berkata, dia tumpang gembira apabila melihat rakan seperjuangannya, Adam AF kembali beraksi di atas pentas.

Malah, melihat kemunculan semula V.I.P secara tidak langsung membuatkan dia mengimbau kembali memori pahit manis ketika mereka aktif melakukan siri jelajah persembahan suatu ketika dahulu.

“Bila tengok mereka buat persembahan semula, saya rasa seronok. Adam itu sudah macam guru dan saudara saya sendiri.

“Bila tengok V.I.P buat ‘comeback’, saya teringat kenangan lama kami buat ‘road tour’ selama dua ke tiga tahun. Banyak kenangan kelakar dan susah yang kami lalui bersama.

“Namun, saya akui jodoh kami tidak panjang kerana masing-masing mempunyai haluan dan hala tuju sendiri.

“Itu perkara lumrah bagi mana-mana kumpulan lelaki, ada yang mahu begini, ada yang mahu begitu. Tetapi itu semua cerita lama,” katanya.

Ditanya sama ada dia sedia kembali sekiranya dihubungi anggota lain selepas ini, Fadlan tidak menolak kemungkinan itu, namun menyerahkannya kepada keadaan.

Dia mengakui perasaan rindu terhadap dunia nyanyian masih menebal walaupun kini lebih fokus kepada dunia lakonan.

“Mungkin, mungkin sahaja saya sedia terima. Perasaan rindu itu memang ada, tetapi orang kata rindu boleh, kembali jangan. Jadi saya pun tidak pasti.

“Sebenarnya saya menyanyi setiap hari di rumah dan kalau ada majlis perkahwinan rakan-rakan pun saya akan menyanyi,” katanya.

Sementara itu, filem Nar’sata: Sekutu Setan arahan Pierre Andre akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 Mei depan.

Selain Fadlan, filem itu dibintangi Trisha Ooi, Mawar Rashid, Aniq Suhair, Khatijah Tan dan ramai lagi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *