Kuala Lumpur: Pelakon, Sharnaaz Ahmad, 40, menyifatkan ‘hero sebenar” yang membawa kejayaan besar dalam hasil kutipan filem tempatan di pawagam adalah penonton yang sanggup membeli tiket.
Sharnaaz berkata, ia termasuk kerja berpasukan daripada pengarah, pelakon, kru produksi dan penonton yang menyokong karya filem itu.
“Kejayaan filem Blood Brothers: Bara Naga contohnya, kalau nak cakap atau agungkan ia hasil lakonan Sharnaaz ke, Syafiq Kyle ke yang hebat sangat, itu sama sekali tidak betul.
“Jujur cakap siapalah saya, siapalah Syafiq, siapalah Shukri Yahaya? Kami ini orang biasa yang hanya melakonkan babak-babaknya. Tapi, yang menjayakannya adalah semua orang dalam pasukan.
“Kami sekadar ‘player’ dan ‘pemain sebenar’ yang membeli tiket itu adalah hero yang menyokong segala usaha sudah dilakukan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Sharnaaz, tanpa sokongan padu diberikan penonton semestinya kutipan yang mencecah lebih RM70 juta sudah dikutip filem terbabit sekarang tidak mungkin menjadi kenyataan.
“Tanpa mereka yang sanggup membeli tiket sampai 10 kali, 11 kali hanya untuk menonton Blood Brothers, sejujurnya mereka inilah yang patut kita jaga.
“Macam mana kita nak jaga? Hidangkan dengan kualiti (filem) dan kita akan dapat semula pulangan yang baik. Itu saja,” katanya.
Berbicara mengenai formula kejayaan dalam penghasilan sebuah karya seni, pelakon watak jahat dalam filem Polis Evo 3 ini memaklumkan jangan sesekali syok sendiri.
“Formula kepada pelakon, penerbit dan sesiapa saja yang menghasilkan filem, jangan syok sendiri. Berjayanya sebuah karya filem itu pada hari ini adalah kerana pasukan.
“Ia bukan sebab seorang individu sebagai pelakon, bukan pengarah ke atau bukan sesiapa saja kecuali ia membabitkan kerja dalam satu pasukan. Jadi itulah formulanya yang sebenar.
“Bagi saya juga, budaya kerja berpasukan inilah yang sudah lama dipraktikkan oleh pembikin filem luar negara. Sama ada di Hollywood, Bollywood atau mana saja’, bila buat kerja kena sehabis baik,” katanya.
Filem Blood Brothers: Bara Naga arahan bersama Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra hingga kini mendapat penerimaan luar biasa daripada penonton tempatan terhadap karya filem aksi.
Selain Sharnaaz, ia turut Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap, Andy Teh, Wan Hanafisu dan ramai lagi.