Sepang: Isteri kepada pelakon dan pelawak, Along Cham iaitu Afreena Suhaimi menafikan kenyataan Along mengenai wujudnya lafaz rujuk secara lisan ketika prosiding kes pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini.
Menurut Afreena, isu lafaz rujuk tidak dibangkitkan langsung memandangkan ia terlalu sulit dan peribadi untuk dikongsi, sebaliknya dia menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukannya.
“Berkenaan rujuk saya tak nak komen kerana agak privasi dan bimbang akan disalah tafsir. Tidak kiralah rujuk lisan atau batin, biar mahkamah yang membuat keputusan.
“Pada prosiding sebelum ini pun saya tak pernah cakap apa-apa fasal rujuk batin atau lisan. Semuanya keluar daripada mulut plaintif (Along),”‘katanya.
Sementara itu, mengulas penafian yang dibuat anak guamnya yang dilihat seolah-olah sengaja melengahkan proses perceraian, peguam syarie yang mewakili Afreena, Mohamad Iezwan Ielias berkata, penangguhan itu berpunca daripada fakta baharu yang dikemukakan plaintif hari ini.
“Sebelum ini Along tidak pernah menyatakan wujudnya rujuk lisan. Malah dalam dokumen kes pun tidak dinyatakan mengenai perkara itu.
“Tapi bila mereka kemukakan fakta baharu (wujud lafaz rujuk secara lisan) ini menyebabkan kes menjadi panjang.
“Jadi tindakan seterusnya adalah kami akan buat secara bertulis supaya mahkamah ada rekod dan proses hari ini hanya berjalan sebahagian memandangkan terdapat banyak kes di mahkamah termasuk kekangan masa,” katanya.
Terdahulu, mahkamah menetapkan 1 dan 3 Julai sebagai tarikh baharu prosiding kes pengesahan lafaz cerai taklik pasangan terbabit.