Kuala Lumpur: Filem Blood Brothers : Bara Naga arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra terus melakar kejayaan apabila mencatat kutipan RM29.9 juta dalam tempoh tujuh hari tayangan di pawagam seluruh tanah air.
Penerbitnya yanhg juga pemilik Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam ketika dihubungi berkata, pihaknya bersyukur dengan kejayaan yang dikecapi filem itu.
“Saya bersyukur dengan pencapaian filem arahan Syafiq yang terus melakar kejayaan tahun demi tahun. Segala yang baik daripada Allah dan jika ada kekurangan pula datangnya daripada pihak kami,” katanya kepada Harian Metro.
Yusof berkata, pihaknya menaruh harapan tinggi semoga filem itu terus mendapat kutipan memberangsangkan bagi mengangkat imej filem tempatan.
“Sejak empat tahun lalu, filem Melayu juga menduduki carta teratas dari segi kutipan dengan mengatasi kutipan filem dari luar negara.
“Ia bermula dengan Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan pada 2022, Polis Evo 3 (2023), Sheriff : Narko Integriti (2024) dan Insya-Allah, filem Blood Brothers : Bara Naga,” katanya.
Mengenai maklum balas dari pihak pawagam, Yusof berkata, mereka juga lega dengan sambutan positif penonton terhadap filem Blood Brothers ketika ini.
“Menerusi kejayaan filem ini, pawagam tempatan nampaknya mula bernafas apabila penonton juga mula membanjiri pawagam untuk menonton filem kita.
“Ia petanda filem tempatan masih diminati ramai jika dibuat dengan serius serta menepati selera penonton kita,” katanya.
Yusof berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk memperbaiki kualiti filem terbitan Skop Productions dari semasa ke semasa.
” Insya-Allah, Syafiq dan abangnya, Syamsul adalah penyambung legasi saya dalam industri perfileman tanah air,” katanya.