Kuala Lumpur: Penyanyi, Kaka Azraff, 36, memohon doa yang baik-baik untuk perkahwinannya dengan suami, Adam Azriff untuk terus harmoni bersama anak-anak mereka.

Pada Oktober tahun lalu, pasangan ini dilaporkan bercerai talak satu dan pengesahan berhubung perkara itu dibuat mereka secara ‘ekspres’ di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Bagaimanapun, mereka dikatakan rujuk kembali dalam tempoh iddah dan Kaka didapati memuat naik gambarnya bersama suami ketika hadir dalam acara pertunjukan fesyen di ibu kota, Januari lalu.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff ketika ditemui berkata, tiada apa yang hendak didedahkan dan disembunyikan mengenai kemelut rumah tangga mereka itu.

“Saya hanya mohon doakan yang baik-baik agar rumah tangga kami yang baru tujuh tahun ini terus harmoni. Tak ada apa yang nak didedahkan atau ditutup. Cuma, hal rumah tangga ini terlalu peribadi.

“Terus-terang, saya tidak selesa membicarakannya kerana hal peribadi seperti perkahwinan adalah lebih baik disimpan sendiri. Saya percaya setiap orang yang berpasangan mesti ada ujian masing-masing.

“Berapa lama tempoh perkahwinan itu walaupun ada pasangan yang sudah hidup bersama lebih 20 tahun, namun ujian yang datang tidak dapat dielak kerana itulah asam garam berumah tangga,” katanya.

Ditanya mengenai mereka masih tinggal sebumbung ketika berhadapan kemelut rumah tangga itu, Kaka berkata, dia dan suaminya tetap menjalani kehidupan bersama dengan anak-anak.

“Kami tetap sebumbung dan dakwaan cerai itu mungkin bukan sesuatu yang sahih. Tetapi, saya memang memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenainya sebab banyak hati perlu dijaga.

“Tidak mudah untuk saya bercerita kerana saya perlu memikirkan banyak faktor sekeliling terutama anak-anak. Ia bukan hanya perasaan saya saja, tetapi kena fikir juga suami dan keluarga kedua belah pihak,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Gila ini, dia kini turut belajar untuk tidak terlalu berkongsi kisah peribadi kepada pihak luar di media sosial kerana tidak mahu menjadi fitnah atau pusing-pusing asyik cerita peribadi saja.

“Apapun, memang banyak iktibar yang saya belajar daripada insiden kemelut rumah tangga berlaku itu terutama harus sentiasa bersatu hati dengan pasangan dan elakkan campur tangan pihak luar.

“Daripada apa yang berlaku sebelum ini, saya boleh katakan dalam perkahwinan pasangan itu sebenarnya dua hati nak menjadi satu bukan mudah. Tetapi, kami cuba sedaya upaya untuk kekal bersatu.

“Dalam melayari rumah tangga ini, kami sedar perlu elakkan daripada dipengaruhi faktor-faktor luar seperti mungkin kami hanya boleh dengar dan tidak mengambilnya bulat-bulat sebab yang faham rumah tangga kami adalah kami berdua,” katanya.

Kaka berkata, dia juga belajar dalam perkahwinan sangat memerlukan kesabaran dan kefahaman dua pihak bagi menyelesaikan masalah yang berlaku dengan baik dan tidak tergesa-gesa buat keputusan.

Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan mereka kini dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Aslan, 6, Aryan, 4, dan Atta Adam, 2.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *