Kuala Lumpur: Penyanyi remaja, Ummi Umairah, 14, mengaku suka membaca komen netizen di media sosial kerana membuatnya rasa terhibur dan tidak lagi sedih atau terguris hati walaupun ia berbaur kecaman.

Umairah berkata, dia kini dapat menerima apa saja komen netizen secara baik kerana sudah melatih dirinya untuk tetap kuat berikutan sedar tidak mudah baginya masuk ke dalam dunia seni.

“Sejak masuk program TV dulu ketika kanak-kanak, perasaan saya mudahlah tersentuh. Tapi bila lama-lama, saya latih diri untuk tetap kuat sebab nak masuk industri ini bukanlah senang.

“Biasalah mulut orang tak boleh nak tutup. Tapi bila lama-lama dah latih diri itu, hati kita dah rasa macam bila baca (komen netizen) ia jadi seronok. Saya suka baca komen dan ambilnya sebagai kata-kata semangat.

“Saya langsung tak fikir negatif walaupun komen itu berbaur kecaman,” katanya.

Ditanya apa komen teruk netizen pernah diterimanya, Umairah berkata, dia didakwa meniru cara nyanyian dan jadi penyanyi kerana ibu saudaranya adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dipanggil Mak Iti.

“Saya awal-awal nyanyi pun orang kata saya tiru Mak Iti dan saya jadi penyanyi juga sebab Mak Iti. Tapi mereka (netizen) sebenarnya tidak tahu Mak Iti memang ‘support’ (sokong) saya dan seluruh keluarga turut menyokong saya.

“Memang dari kecil, Mak Iti dah tengok (bakat nyanyian). Bukan saya nak tiru, tapi nak buat macam mana dah darah daging. Lenggok alunan suara saya pun tidaklah 100 peratus sama. Macam suara emak saya juga,” katanya.

Mengulas cara dia berhadapan tekanan di media sosial, Umairah berkata, sokongan daripada keluarga sangat penting terutama neneknya, Siti Salmah Bachik yang tidak mahu dia membaca komen ditulis itu.

“Tapi, saya ini degil juga dan tetap nak baca komen-komen netizen. Jadi, semakin lama saya semakin okay dan kuatlah. Dapat juga saya menghadapinya.

“Ibu saya (Siti Saerah) juga banyak berikan nasihat. Macam katanya, tak apa biarkan saja orang nak cakap apa, tapi kita teruskan saja hidup kita. Takkanlah baru baca komen, nak ‘down’ diri terus,” katanya.

Umairah berkata, setakat ini kalau dia mendapat komen negatif selalunya dibiarkan saja dan jika dirasakan benar-benar menghiris hati, tindakan dibuat adalah sekat akaun media sosial terbabit.

Pada awal Januari lalu, Umairah yang juga juara World Championships of Performing Arts (WCOPA) 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat (USA) dipilih menjadi artis pertama naungan SN Legacy Sdn Bhd milik Siti dengan kontrak selama lima tahun.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *