Kuala Lumpur: Kuih Satu Hati dan Kuih Cinta. Itu antara usikan netizen di ruangan komen apabila pelakon Erra Fazira membuat siaran langsung bersama jejaka yang dikatakan sedang dikenalinya, Ezwan Zain di aplikasi TikTok.
Menerusi siaran langsung itu, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, dilihat bersama pengasas sebuah restoran yang terkenal dengan pelbagai hidang kuih muih sambil mempromosikan jenis kuih tradisional dan popular.
Bagaimanapun sesi siaran langsung itu bertukar menjadi momen yang romantis apabila netizen mula meninggalkan komen mengenai hubungan mereka dan mendoakan kebahagiaan pasangan itu.
Biarpun Erra membaca semula pertanyaan netizen dan bertanya kepada Ezwan adakah dia buah hatinya, namun Ezwan enggan mengesahkannya.
“Tiada. Buah Melaka saja ada,” katanya.
Malah Ezwan juga kelihatan malu apabila diusik netizen sehingga tidak menunjukkan wajah yang penuh ketika siaran langsung itu.
Menerusi video yang dimuat naik seorang netizen dan kini meraih lebih 60,000 tontonan, Erra dan Ezwan difahamkan membuat siaran langsung itu pada 7 Mac lalu.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata mendoakan kebahagiaan pasangan ini dan mengaku mereka adalah pasangan yang secocok.