Kuala Lumpur: Filem Anora muncul sebagai pemenang utama di Academy Awards ke-97 atau Oscars dengan membawa pulang lima trofi iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Suntingan Terbaik dan Lakon Layar Asal Terbaik.
Kejayaan ini menjadikan Anora sebagai filem dengan kemenangan terbanyak dalam edisi kali ini mengalahkan pesaing hebat lain iaitu The Brutalist, A Complete Unknown, Conclave, Dune : Part Two, Emilia Pérez, I’m Still Here, Nickel Boys, The Substance dan Wicked.
Pengarahnya, Sean Baker turut mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama yang memenangi empat anugerah Oscar untuk satu filem.
Mikey Madison yang membawa watak Anora mencipta sejarah sendiri apabila membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik.
Academy Awards ke-97 turut menjadi saksi kepada beberapa pencapaian bersejarah.
Pelakon The Brutalist, Adrien Brody menjadi pelakon pertama yang memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik sebanyak dua kali dalam tempoh 22 tahun menewaskan Timothée Chalamet yang dicalonkan menerusi A Complete Unknown.
Dalam kategori Reka Bentuk Kostum Terbaik, Paul Tazewell mencipta sejarah sebagai lelaki kulit hitam pertama yang memenangi Oscar menerusi karyanya dalam filem Wicked.
Filem muzikal itu turut membuka majlis dengan persembahan oleh bintang utamanya, Ariana Grande dan Cynthia Erivo, yang menyampaikan gabungan tiga lagu bertemakan dunia Oz.
Selain itu, Flow menjadi filem pertama dari Latvia yang merangkul trofi selepas dinobatkan sebagai Filem Animasi Terbaik.
Sementara itu, Zoe Saldana turut mencatat sejarah sebagai warga Amerika berketurunan Republik Dominica pertama yang memenangi Oscar menerusi lakonannya dalam Emilia Pérez, sebuah filem terbitan Netflix.
Acara tahun ini turut menyaksikan kemenangan besar bagi pembikin filem antarabangsa, termasuk kejayaan I’m Still Here dari Brazil serta In the Shadow of the Cypress dari Iran.
Dalam kategori Dokumentari Terbaik, kemenangan berpihak kepada No Other Land, sebuah filem yang mengisahkan mengenai pengusiran komuniti dari Tebing Barat oleh tentera Israel. Filem ini dihasilkan oleh gabungan pembikin filem Palestin dan Israel.
Acara anugerah yang disiarkan secara langsung dari Dolby Theatre, Hollywood menerusi saluran ABC itu dikendalikan oleh pelawak Conan O’Brien.
Bagaimanapun, siaran Hulu yang menstrim acara itu mengalami gangguan teknikal dan terputus bagi sebahagian pengguna ketika kategori utama diumumkan.