Petaling Jaya: “Ini adalah waktu kemuncak persahabatan kami.”
Demikian luah pelawak, Mamat Sepah mengenai niat dan hadiah daripada sahabatnya, Shuib Sepah untuk membawanya menunaikan umrah di Tanah Suci.
Mamat ketika ditemui di sidang media menandatangani perjanjian bersama Nuh Travel & Tours Sdn Bhd berkata, persahabatan mereka pernah terpisah selama 13 tahun dan selepas kembali bersatu, ini adalah detik terindah.
“Saya pernah menghilang selama 13 tahun, jadi saya tiada detik istimewa dengan Shuib, jadi bila kami bertemu kembali kami hanya bekerja.
“Kami pun tak pernah pergi bercuti lagi dan dia juga ada cakap ketika dia berada di Makkah baru-baru ini, alangkah seronoknya dapat pergi bersama saya.
“Dalam hati, saya katakan kalau saya dapat pergi dengan dia, inilah waktu kemuncak persahabatan kami. Ini bukan soal duit.
“Tapi pasal masa sebab waktu rakaman kami bersama, tapi bila kami tiada rakaman, Shuib sibuk. Dia pun ada keluarga dia sendiri,” katanya kepada Harian Metro.
Shuib pula berkata, Mamat adalah kawan yang sangat baik dan dikenalinya sebelum mereka bergelar artis.
“Saya sudah berkawan lama dengan Mamat, saya kenal dia sebelum jadi artis lagi saya ada di sini pun sebab kumpulan Sepah, cita-cita saya seorang budak kampung yang nak jadi artis, tapi alhamdulillah Allah izinkan sampai hari ini.
“Jadi bila dapat bersama dia balik selepas 13 tahun kami ‘bercerai’ dan ada perselisihan faham, saya buat ‘podcast’ dan dia datang dan sekarang kami berjalan dan cari rezeki bersama-sama.
“Saya nampak ada sesuatu yang istimewa antara kami bila kami ke Makkah dan Madinah nanti. Saya pun bukanlah tiada kawan tapi tak ramai yang betul-betul baik sangat susah.
“Ini adalah masa untuk persahabatan kami, ialah kami pun sudah masuk 40-an. Betullah orang cakap kehidupan mula pada usia 40 tahun, jadi harap permulaan ini adalah lebih baik buat kami.
“Saya pergi umrah sebelum ini pun bersama keluarga, dan kali ini istimewa sebab saya bersama kawan baik saya. Itulah sebab saya pergi umrah baru-baru ini pada November lalu, saya terlintas dalam hati seronoknya kalau ada Mamat,” katanya.