MAHKOTA wanita yang selama ini menjadi tatapan ramai, kini dibaluti kain bernama hijab.

Siapa sangka, kain nipis menutupi kepala Nora Danish bukan saja membawa perubahan besar dalam hidup pelakon jelita ini, malah, meraih pujian hingga ada dalam kalangan pengikut media sosialnya, terbuka hati untuk mengikut jejak sama.

Namun sudah menjadi lumrah, bukan semua orang melihat perubahan itu sebagai sesuatu yang positif. Ada yang mendakwa Nora sekadar berlagak alim dan mahu dilihat suci pada pandangan masyarakat.

Mendasari hati Nora atau nama penuh, Nora Mohd Danish Hanif, 43, dia sebaliknya tidak mahu lekas menuding jari kepada mana-mana pihak kerana menyedari pernah berada di tempat sama.

“Kalau pada zaman saya jahil, itu juga persepsi saya kepada mereka yang sudah berhijrah serta orang di sekeliling mereka.

“Saya anggap mereka ini suci dan tidak boleh hendak buat dosa. Jika ada dosa dilakukan, masyarakat akan pantas menghukum dan dianggap munafik.

“Apa yang mereka perlu faham, mereka manusia biasa yang tidak sunyi daripada melakukan kesilapan.

“Mereka juga pendosa. Apa yang Allah ingin lihat adalah keinginan kita untuk bertaubat. Sifat kita yang ingin berubah dan kekal istiqamah. Bukannya kesempurnaan kita kerana tiada manusia sempurna.

“Itulah yang saya cuba sampaikan kepada masyarakat,” katanya.

Nora menambah, selagi bernama manusia, Tuhan tidak berhenti menghadirkan ujian dan terpulang kepada mana-mana individu untuk menilai aspek mana iktibar boleh diambil.

“Kadang-kadang apabila kita tidak berapa faham mengenai agama dan melihat orang yang mempunyai latar belakang tinggi pengetahuan agamanya ini ditimpa ujian dan dijadikan bahan berita, secara automatik, kita akan terus hakimi mereka

“Itu berlaku kepada orang yang kurang ilmu agama. Tetapi apabila kita belajar dan faham hidup kita memang untuk diuji, tidak kisahlah dia golongan agamawan, orang jahil, baru hendak berhijrah atau orang biasa, semuanya akan diuji hinggalah mereka meninggal dunia.

“Kita tahu Allah uji sebab Allah sayang dan hendak ke syurga itu bukanlah mudah. Dengan usaha untuk mendapatkan syurga itulah, maka Allah berikan ujian itu.

“Tetapi, sudah menjadi fitrah manusia, suka melihat kesilapan orang lain. Sepatutnya apabila melihat seseorang diuji, kita doakan mereka, bukannya terus menghukum,” kata pelakon filem Sayu Yang Syukur itu.

Biarpun ada yang bersikap skeptikal terhadap mereka yang sudah berhijrah, Nora bersyukur perubahan hidupnya mendapat maklum balas positif peminat.

Buktinya, ada antara peminatnya meluahkan hasrat mengikut jejak langkah melakukan hijrah.

“Ketika peringkat awal proses penghijrahan, saya bimbang hantaran saya dalam media sosial menimbulkan riak dan sebagainya.

“Tetapi, apabila mereka melayangkan mesej menyatakan perkongsian mengenai penghijrahan saya membuka hati untuk turut berhijrah, saya terharu. Ini memberi impak cukup besar dalam diri saya.

“Maklum balas itu buatkan saya lebih yakin. Saya tidak perlu takut dengan apa sahaja persepsi orang,” katanya.

Mengulas ucapan ulang tahun berbaur nasihat berkaitan agama kepada anak bujangnya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 16, yang dipuji netizen, Nora menjelaskan dia sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai ibu.

“Adalah menjadi tanggungjawab ibu mengingatkan anak soal solat dan zikir. Hendak ulas panjang pun saya segan. Apa yang saya nasihatkan perkara wajib bagi umat Islam.

“Dahulu pun saya berpesan dan sekarang kena lebih kerap kerana berkaitan solat. Amalan ini wajib dilakukan dan tidak boleh ambil remeh.

“Lagipun Rayqal anak lelaki dan sudah akil baligh. Penting pesanan seperti itu untuk Rayqal. Rasanya semua emak mendoakan perkara sama untuk anak mereka,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *