Kuala Lumpur: Isteri pelakon dan pengacara, Nabil Ahmad iaitu Nazirah Ayub menjelaskan kekhilafan suaminya menggunakan media sosial menjadi punca videonya tanpa mengenakan tudung tersebar sehingga menjadi bualan ramai, tahun lalu.
Nazirah atau Zira berkata, video itu adalah rakaman lama yang pernah dimuat naik di Instagram Story sebelum dia melakukan penghijrahan menutup aurat.
“Instagram selalunya ada keluarkan gambar lama (throwback), tapi tak tahu macam mana Nabil termuat naik tanpa sengaja.
“Itu video lama, jadi saya enggan bercakap sebab risau nanti akan panjang isunya. Orang akan menambah perkara lain pula.
“Nabil tak tahu menggunakan media sosial, malah Instagramnya pun saya pegang. Saya dah cakap pada Nabil jangan baca komen netizen,” katanya ditemui selepas majlis pengumuman duta Jakel Raya dan kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025 di Jakel Mall, di sini, hari ini.
Majlis yang sama turut menyaksikan Nabil kekal menjadi duta Jakel dan turut disertai keluarganya bagi memeriahkan kempen Aidilfitri untuk tahun ini.
Dalam pada itu, Nabil mengakui apa yang berlaku berpunca dari kesilapannya dan dia mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.
“Saya akan lebih berhati-hati menggunakan media sosial kerana risau anak-anak terkena tempias atas kesilapan dilakukan,” katanya.
Pada 5 November lalu, Zira mengundang perhatian ramai apabila tampil dengan imej tidak bertudung di media sosial.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Zira yang ketika itu berada di luar negara bersama Nabil dilihat tidak bertudung dan hanya memakai topi berwarna hitam di kepala sambil menikmati minuman.
Video itu juga memperlihatkan rambut Zira yang panjang sehingga paras dada berwarna keperangan.
Pasangan ini berkahwin pada 30 September 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Naira Mikayla, 13; Layla Medyna, 10; dan Mishall Imani yang kini berusia enam tahun.