Kuala Lumpur : “Saya tidak fasih bahasa Tamil. Saya hanya hafal dialog,” kata pelakon veteran, Aznah Hamid, 64, mengenai video lakonannya dalam filem Tamil, Priya bersama legenda filem Tamil, Rajinikanth pada 1978 yang tular semula, baru-baru ini.

Babak lakonannya yang dikongsi di TikTok itu mendakwa Aznah fasih bertutur dalam bahasa Tamil sejak berusia 18 tahun.

“Saya memang tak boleh cakap dalam bahasa Tamil. Namun, ketika penggambaran filem itu, ada jurubahasa atau kru produksi yang membantu saya menghafal dialog mengikut skripnya,” katanya kepada Harian Metro.

Aznah berkata, itu adalah cabaran ketika dia berlakon dalam filem itu. Selain bahasa Tamil, dia juga perlu bertutur dalam bahasa Kannada kerana filem ini diterbitkan dalam dua versi.

Dalam pada itu, Aznah mengakui dia menimba pengalaman manis dan berharga sepanjang berganding dengan Rajinikanth.

Dalam filem arahan S P Muthuraman itu, Aznah yang ketika itu berusia 17 tahun melakonkan watak heroin di samping Rajinikanth dan mendiang bintang terkenal Bollywood, Sridevi.

Aznah berkata, pelakon legenda itu juga sangat profesional ketika di lokasi penggambaran filem berkenaan.

“Saya ditawarkan berlakon filem itu pada usia kira-kira 17 tahun. Ketika itu pula nama memang tengah naik. Difahamkan, mereka juga mencari pelakon berwajah ‘Pan Asian’ dan saya memenuhi kriteria dicari.

“Saya juga selesa bekerjasama dengannya kerana beliau juga boleh dibawa berbincang dan menerima idea pelakon muda.

“Beliau juga melayan saya sangat baik seperti adiknya sepanjang penggambaran filem ini di lokasi di Malaysia, Singapura dan Hong Kong,” katanya.

Ditanya mengenai Sridevi, Aznah berkata, bintang Bollywood itu juga melayannya dengan baik di lokasi.

“Priya juga adalah watak lakonan Sridevi dalam filem itu. Saya ada satu babak saja dengannya tetapi dia juga sangat baik di lokasi. Antara kenangan sukar dilupakan ketika Sridevi membetulkan sari yang saya pakai dalam salah satu babak dalam filem di lapangan terbang di mana dia mahu pulang ke kampung halamannya,” katanya yang percaya ia tular di TikTok kerana peminat generasi baharu yang baru dapat tahu mengenainya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *