PERUBAHAN fasa kehidupan secara tidak langsung membuatkan penyanyi, Sarah Fazny perlu beradaptasi dan hampir melupakan dunia seni. Namun, darah seni tidak pernah berhenti mengalir dalam tubuhnya.

Seangkatan dengan rakan-rakan seperjuangan seperti Aina Abdul, Nadeera Zaini dan ramai lagi, Sarah, 29, mengambil semangat daripada mereka untuk melangkah semula ke dalam industri muzik.

“Saya satu ‘batch’ dengan Aina dan Nadeera. Jadi, apabila melihat rakan-rakan saya yang sudah berjaya, kadang-kadang ada rasa rendah diri bila melihat posisi saya.

“Tapi, bila difikirkan semula, saya sebenarnya boleh juga berada di tempat seperti mereka, cuma saya yang tak bergerak,” katanya.

Menurut Sarah yang juga naib juara program realiti Mentor Legend ini, Nadeera juga turut berjaya menjentik hatinya untuk lebih menghargai bakat sendiri.

“Malah, sebelum saya sertai uji bakat Calpis Soda One in a Million baru-baru ini, saya mesej Nadeera dan dia pun cakap, dia sayangkan bakat saya dan saya juga kena sayangkan bakat saya.

“Katanya, dia hampir berputus asa waktu nak masuk usia 30 tahun, tapi siapa sangka rezeki itu datang. Jadi, dia minta saya agar jangan berputus asa sebab belum terlambat.

“Walaupun dah berkahwin, dah bertudung atau ada anak, ada saja bakat-bakat lain yang menyinar. Pada saya, yang penting usaha,” katanya.

Berkongsi mengenai kehidupannya selepas bergelar isteri dan ibu, Sarah berkata, ia sangat jauh berbeza.

“Selepas berkahwin, kehidupan saya sangat berbeza, lebih-lebih lagi selepas melahirkan anak. Anak saya pun dah berusia dua tahun lebih.

“Selepas itu, saya masih belum dapat mengadaptasikan kehidupan saya lagi memandangkan anak saya pun menyusu badan. Jadi, saya beri masa kepada diri sendiri dulu sebab saya tak yakin lagi. Selepas berpantang itu, badan pun dah lain.

“Kemudian, kalau daripada pihak suami, dia tak pernah halang. Saya bertudung pun atas kehendak saya. Tapi, apabila saya berjumpa orang luar, ada yang bertanya, ‘Kenapa pakai tudung? Suami suruh ya?

“Bukan begitu. Suami sokong. Saya nak menyertai pertandingan nyanyian pun, suami sokong. Suami pun tak ada letakkan had atau apa-apa. Dia beri keterbukaan kepada saya. Mungkin bila dah ada anak, menumpang rezeki anak juga. Siapa tahu,” katanya.

Ingin mencipta nama semula dan membuat ‘comeback’, Sarah berharap agar impiannya itu menjadi kenyataan.

“Sebenarnya, saya dah kurang keyakinan juga dalam nyanyian. Mungkin sebab saya dah lama tak menyanyi, dah lama tak keluar bergaul dengan lingkungan ini. Jadi, abang saya, Boy nak sertai Calpis Soda One in a Million ini. Jadi, dia pun sokong saya supaya saya turut serta.

“Bila dah jadi ibu, fokus saya pun dah lari. Tapi, saya memang ada sasaran, bila anak dah mencecah usia dua tahun, saya nak fokus semula kepada karier.

“Saya pun dah nak masuk 30 tahun. Jadi, kalau jadi, saya nak aktif semula dan memang merancang ke arah itu.

“Kalau saya ‘comeback’, saya akan pastikan saya sertai kelas vokal, betul-betul tumpukan kepada diri saya yang baharu dan tak nak jadi seperti Sarah Fazny yang lama,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *