Kuala Lumpur: Pelakon dan penerbit Datin Anne Ngasri, 39, menjelaskan tidak terasa hati jika peminat memanggilnya dengan panggilan nama saja dan bukannya Datin.
Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri kini menjadi Exco Wanita Umno bagi penggal 2023 sehingga 2026 serta dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GiatMARA sejak tahun lalu.
“Tugas saya sememangnya memerlukan saya turun padang berjumpa ramai orang dari pelbagai golongan masyarakat. Saya pun suka mendekati semua orang.
“Namun, tak payahlah terlalu protokol sangat. Panggil Anne pun saya tak kisah. Selalu pun orang panggil begini tapi saya okey. Sampaikan saya kata, mana yang kamu selesa panggil saya, gunakanlah.
“Sebabnya saya rasa benda ini hanya di dunia saja. Cuma kadangkala apabila berada dalam majlis rasmi, kenalah ikut protokol seperti yang ditetapkan,” katanya kepada Harian Metro.
Anne menerusi Instagram berkongsi gambar dia memberikan skrol kepada barisan graduan pada Majlis Graduasi GiatMARA Ke-37 Zon Sidang 10 (GiatMARA Negeri Sabah 2024) yang berlangsung di Wisma MUID, Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin.
“Graduan yang terbabit sekitar 793 orang dan saya bagi untuk lebih 400 orang dalam tempoh sehari. Ini pengalaman kedua saya selepas lakukan tugas sama pada Majlis Konvokesyen Graduasi GiatMARA Ke-36 Zon Pantai Timur 2023 tahun lalu.
“Saya rasa bersyukur dapat jadi salah seorang yang meraikan pelatih-pelatih yang terbabit dalam bidang kemahiran. Sebelum ini orang selalu anggap kemahiran ini adalah pilihan kedua kepada anak-anak yanvg tak minat dalam pelajaran atau sekolah.
“Pelatih GiatMARA bermula pada usia 15 tahun dan kadangkala tak berpendidikan sampai SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun. Sekarang sijil GiatMARA diangkat kalau SKM Tahap 3 maknanya mereka dapat sijil yang saya berikan umpama dapat ijazah seperti SPM atau menghampiri Diploma,” katanya
Menurutnya, tiada lagi istilah GiatMARA adalah pilihan kedua buat pelajar yang tercicir dalam pelajaran.
“Peluang pekerjaan itu lebih tinggi kerana mereka mahir dalam bidang yang mereka lakukan. Kebanyakan yang lain hanya teori tapi mereka buat praktikal.
“Masa saya tampil di Sabah, pelatih-pelatih ini terkejut dengan kehadiran saya kerana saya pun tak terlalu menghebohkan pelantikan saya sebagai Timbalan Pengerusi GiatMARA.
“Orang tak tahu saya sebenarnya pelajar kemahiran. Saya pelajar bidang beautician SKM Tahap 1 tapi kalau sekarang dah tiada Tahap 1 dan terus ke Tahap 2,” katanya.
Karier Anne dalam bidang kepimpinan bermula selepas bertemu jodoh kali kedua bersama Datuk Mohd Sumali Reduan pada 2012.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Sufi Harraz, 10, dan Nefa Naura, 5.
Terdahulu, pasangan ini juga mempunyai cahaya mata dari perkahwinan sebelum ini. Anne mempunyai tiga cahaya mata daripada perkahwinan pertama iaitu Abdul Warits, 17, Abdul Wafri, 15, dan Nazharah Afroza, 13, manakala, Mohd Sumali mempunyai seorang anak, Suffian Akim, 18.