Kuala Lumpur: Pelawak juga anggota ‘termuda’ Senario, Yassin Yahya, 46, mendedahkan dia pernah ke perpustakaan setiap hari hanya untuk belajar dan memahami apa itu lawak selepas dipilih menyertai Senario pada tahun 2000.
Yassin berkata, ketika itu dia memang tidak tahu-menahu apa sebenarnya ‘melawak’, tetapi yakin ilmu boleh dicari menerusi pembacaan dan tempat ada banyak jenis buku tentulah perpustakaan yang perlu dituju.
“Namun, saya tak jumpa pun bahan bacaan ‘melawak’ yang dicari, walaupun buku psikologi juga saya baca. Boleh dikatakan memang ‘struggle’ untuk saya buat lawak pada tiga tahun awal bersama Senario.
“Tapi, nak tak nak saya kena berusaha juga walau apa cara pun untuk buat lawak sebab dah setuju terima lawaran diberikan syarikat (TV3) pada masa itu. Bagi saya, ia rezeki dan tak wajar ditolak tanpa mencuba,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.
Menurut bapa empat anak ini, semua inisiatif belajar melawak yang cuba dilakukannya dibuat secara senyap-senyap tanpa pengetahuan anggota Senario lain meskipun kadang-kala berasa tindakan diambil itu mengarut.
“Saya juga tidak pernah bertanya soal gaji yang saya akan dapat selepas melawak (dengan Senario). Apa yang mereka beri (jumlah bayaran), itulah yang saya terima. Bagi saya, paling utama tanggungjawab pada kerja itu.
“Apapun berkat tanpa jemu saya berusaha, akhirnya saya tahu lawak dan jenaka yang sebenar adalah lahir daripada situasi orang sekeliling,” katanya giat menguruskan syarikatnya, Yasstar Empire.
Mengulas juga bentuk teguran atau kecaman diterimanya apabila lawak tidak menjadi, Yassin berkata, disebabkan dulu tiada media sosial maka, berpuluh atau beratus timbunan surat diperolehnya daripada peminat Senario.
“Mereka (peminat) akan hantar surat ke alamat majikan yang ketika itu di Sri Pentas TV3. Jadi, pihak pengurusan akan keluarkan seguni surat dan diasingkan mengikut nama masing-masing.
“Awal-awal itu, saya rasa seronok juga terima surat. Tapi, lama kelamaan isi surat banyak berbaur kebencian kerana mereka tidak suka dengan lawak saya dan tak puas hati saya jadi anggota Senario,” katanya.
Yassin berkata, bagi menenangkan hatinya walaupun dah lali dengan kecaman, dia berhenti membaca surat diikuti, e-mel dan sekarang pula membaca komen-komen netizen di media sosial kerana selesa fokus kepada kerja.ADVERTISING
Selain Yassin, Senario dianggotai Azlee Jaafar, Wahid, Lan Pet Pet, Illya (Pak Ya) dan Saiful Apek. Manakala, seorang lagi Allahyarham Hamdan Ramli yang meninggal dunia pada Jun lalu.