Shah Alam: Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar sudah merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Miera.
Ia didedahkan adiknya yang juga penyanyi, Aufahanie selepas dia memeriksa telefon milik abangnya itu.
Aufahanie ketika ditemui berkata, Miera yang memaklumkan kepada mereka mengenai kehilangan Afham sebelum dia dapat menjejak lokasi telefon Allahyarham.
“Miera dapat kesan lokasi telefon abang dan kami dapat cari dengan pantas lokasi itu.
“Selepas jumpa telefon itu, kami minta kata laluan daripada Miera dan apabila dibuka telefonnya, didapati ada perbualan mengenai perancangan mereka untuk berkahwin,” katanya.
Menurut Aufahanie, abang ketiganya baru saja berkahwin dan sepatutnya selepas ini adalah giliran Afham untuk berkahwin.
‘Dia juga sedang mengumpul duit untuk kahwin,” katanya.
Dalam pada itu, sehingga kini Aufahanie dan keluarganya masih lagi tertanya-tanya apa yang berlaku di sebalik kehilangan Afham.
“Ketika buka telefon abang, ada gambar kami sekeluarga sebelum umi dan ayah bercerai. Kemudian, dalam dompet ada gambar dia dan kekasihnya.
“Cuma barang-barang itu di tengah jambatan dan kenapa bersepah begitu? Kami tak tahu dan tengah tunggu soal siasat. Masih tertanya-tanya,” katanya.