Impian penyanyi, Liza Hanim, 45, untuk menyumbang semula kepada masyarakat tertunai apabila dipilih menjayakan majlis Makan Malam Amal Tabung Pahlawan 2024 anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) dan Yayasan Veteran ATM.
Liza berkata, dia akhirnya boleh berbangga dapat menghibur sambil menyumbang kepada masyarakat.
Katanya, kalau ketika mudanya dulu, omongan itu hanya kosong.
Namun, dengan usia pembabitan dalam bidang seni, dia percaya ini masanya untuk salurkan bakti sebagai anak seni. Apatah lagi, ia adalah tujuan amal yang membabitkan bekas anggota ATM yang berjasa dalam negara.
“Acara ini bukan hiburan semata-mata, sebaliknya saya lihat usaha untuk beri semula kepada masyarakat, terutama golongan veteran ATM yang kita tahu banyak berjasa kepada negara.
“Apa sangat sumbangan saya ini jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang mereka lakukan demi kemerdekaan yang kita nikmati hari ini. Kebetulan majlis itu juga diadakan selepas sambutan Hari Malaysia.
“Justeru, secara tidak langsung ia membangkitkan semangat patriotik dalam diri ini,” katanya pada sidang media mengumumkan penganjuran majlis itu di Wisma Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di ibu negara.
Bakal berlangsung pada di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM di sini, pada 24 September depan, Liza juga akan berkongsi pentas bersama penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.
Semestinya acara itu menjadi lebih bermakna buatnya kerana dia sendiri sudah lama tidak beraksi dengan Jamal. Mereka bakal menghiburkan sekitar 700 yang hadir kira-kira sejam.
“Apa yang membuatkan saya teruja adalah ini kali kedua saya berkongsi pentas dengan Jamal. Kali terakhir adalah pada 2004 iaitu dua dekad lalu ketika kami menjayakan malam kemuncak Anugerah Skrin.

“Ketika itu kami mendendangkan lagu dipopularkan Datuk M Nasir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Bagaikan Sakti,” katanya.
Penyanyi Siapa Sangka Siapa Menduga itu berkongsi masih segar di ingatannya kenangan membuat persembahan di kem tentera buat pertama kali ketika usianya baru meningkat remaja.
“Ketika itu saya bersama beberapa artis senior seperti Datuk Jeffrydin dan Noraniza Idris diundang membuat persembahan di kem tentera di Port Dickson. Saya berusia 18 tahun dan baru saja muncul dengan album sulung.
“Apabila saya tengok ramai askar lelaki menjadi penonton, saya jadi takut. Apabila saya naik pentas, mereka bersorak. Apabila difikirkan balik, itu adalah cara mereka redakan tekanan kerana rutin latihan mereka yang lasak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jen Datuk Zambery Jefry Darus berharap acara terbabit akan menarik ramai untuk menyumbang.
Beliau berkata, JHEV sasar kutipan RM2 juta melalui penganjuran majlis makan malam amal itu.
“Tidak kisah mereka beli meja ataupun menyumbang terus, kami harap majlis makan amal ini dapat sambutan. JHEV sudah merangka beberapa acara bagi mengisi Tabung Hari Pahlawan 2024 di mana acara ini satu daripadanya.
“Kami berbesar hati jika ada individu dan syarikat korporat dapat bersama-sama membantu veteran ATM. Hasil kutipan akan digunakan bagi membantu veteran ATM tidak berpencen dan uzur.
“Ini meliputi keperluan kebajikan seperti lampin pakai buang dan susu warga emas. Jadi, kami terpaksa bertungkus-lumus buat apa sahaja kempen Tabung Pahlawan di seluruh negara,” katanya.