Kuala Lumpur: Penampilan istimewa anak kepada penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Aafiyah, 6 dan Muhammad Afwa, 3, di Konsert Siti Nurhaliza Cinta Di Awan di Arena Of Stars, Genting Highlands malam tadi mencuri perhatian dan menyentuh hati ramai pihak.
Menerusi segmen khas itu, Siti mengundang kedua-dua permata hatinya naik ke atas pentas dan meminta Aafiyah mengiringi persembahannya dengan bermain piano untuk lagu baharunya berjudul Nadi.
Lebih istimewa lagu Nadi itu menceritakan perjuangan dan kecintaan penuh beliau sebagai ibu kepada Aafiyah dan Afwa.
Siti berkata, dia sudah lama teringin untuk Aafiyah menjadi sebahagian dalam konsertnya kerana Aafiyah pandai bermain piano.
“Pembabitan Aafiyah ini saya dah lama impikan. Macam semua tahu Aafiyah memang belajar piano, jadi saya teringin dia ‘back up’ saya.
“Bukanlah untuk sepenuh lagu, tapi cukup sekadar berada di atas pentas menemani saya dan memang kena dengan lagu Nadi yang dibuat khusus untuk Aafiyah dan Afwa.
“Ia adalah momen paling istimewa kerana dapat bersama anak. Sebenarnya saya terpaksa pujuk Aafiyah untuk bermain piano pada konsert ini,” katanya.
Menurut Siti, ketika sesi latihan yang berlangsung kelmarin, Aafiyah menangis dan tidak mahu bermain piano kerana gementar.
“Hampir setengah jam saya cuba memujuk dia, tapi selepas dia mula bermain piano dia okey.
“Malam ini (semalam) dia kelihatan berani, mungkin semalam dia sudah buang rasa takut itu,” katanya.
Menerusi persembahan Nadi, Siti mengaku, lagu itu bukan karya yang mudah dibawakan kerana bait-bait liriknya cukup mendalam.
“Kalau saya fokus dengan setiap bait lirik lagu ini, saya mungkin tak boleh meneruskan persembahan itu
“Masa sesi latihan pun saya sudah menangis. Tapi saya cuba cakap kepada diri, tolong jangan menangis sebab lagu ini cukup istimewa.
“Kehadiran dua anak saya juga mencuit hati saya dan membuatkan tidak berasa sedih yang terlalu mendalam,” katanya.
Menerusi video yang tular di TikTok, rata-rata pengguna media sosial berasa kagum dengan kehebatan Aafiyah yang mampu bermain piano dengan baik dan mengiringi persembahan ibunya.
Malah terdapat juga pengikut yang menangis apabila menonton video terbabit kerana mengikuti perjalanan penyanyi nombor satu negara itu yang sukar mendapatkan zuriat sebelum ini.