Kuala Lumpur: Penyanyi Zubir Khan berjaya menawan hati kanak-kanak berbangsa India menerusi lagu popular nyanyiannya berjudul Yennode Macha dalam acara yang berlangsung di pusat beli belah di Putrajaya, semalam. 

Menerusi video yang dimuat naik seorang penguna TikTok, Zubir menjemput peminat dalam kalangan kanak-kanak untuk naik ke atas pentas dan menyanyikan lagu ciptaaanya itu bersama-sama. 

Apa yang mengejutkan, rata-rata mereka menghafal bahagian korus lagu Yennode Macha dan kelihatan cukup teruja dapat bertemu dengan idolanya.

Malah video yang sudah mencapai lebih 300,000 tontonan itu turut meraih pelbagai komen positif daripada peminat dalam kalangan berbangsa India yang kagum dengan kehandalan Zubir menyanyikan lagu bahasa Tamil.

Malah Zubir juga dianggap ikon perpaduan apabila dapat menyatukan pelbagai bangsa dalam lagu nyanyiannya.

“Anda buat apa yang orang lain tak mampu. Teruskan Zubir Khan,” tulis seorang pengguna akaun.

“Apa masalah aku ni. Tengok video ini pun aku menangis. Kita orang Malaysia,” kata netizen.

“Kali pertama tengok kanak-kanak suka penyanyi macam ini. Tahniah Zubir,” tulis seorang pengguna.

Dalam masa sama, Zubir yang kehilangan sebelah tangan ketika berusia empat tahun akibat termasuk ke dalam mesin kek di kilang roti milik bapanya itu turut meninggalkan komen pada video yang dimuat naik itu.

“Saya tidak akan lupa momen ini,” katanya.

Untuk rekod muzik video Yennode Macha berjaya meraih lebih 10 juta tontonan di YouTube sejak dilancarkan pada 3 Disember tahun lalu. 

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *