Status ‘bintang’ dalam genggaman tidak diperoleh dalam sekelip mata.
Sebelum diangkat sebagai juara program realiti, Malaysian Idol (MI) musim pertama, Jaclyn Victor pernah melalui fasa terpaksa berdepan pandangan serong masyarakat demi mencari sesuap nasi.
Mengimbau kembali detik itu, Jaclyn berkata, situasi itu berlaku ketika dirinya bekerja sebagai penyanyi di sebuah kelab malam.
“Sebelum menjadi penyanyi, saya menyanyi di kelab malam. Disebabkan saya tidak mempunyai kereta, saya pergi kerja menaiki teksi.
“Biasalah apabila naik teksi, pasti pemandu teksi mengajak saya bersembang. Apabila pemandu tanya saya mahu ke mana, saya tidak akan menipu dan beritahu saya mahu ke kelab malam.
“Mendengar jawapan itu, mereka sangat terkejut dan mula mempersoalkan kenapa orang tua saya membenarkan anak gadisnya pergi kelab malam.
“Pemandu juga hairan mengapa emak saya tak memarahi saya kerana pergi bersosial,” katanya.
Meskipun hatinya terusik dengan pandangan negatif seperti itu, namun, Jaclyn atau lebih mesra disapa Jac, tidak mengambil hati dengan sikap skeptikal pemandu teksi.
Malah, Jaclyn meluahkan rasa syukur kerana ibunya, Maggie Victor tidak pernah menghalang minatnya dan sentiasa memberi sokongan padu.
“Apabila ada yang bertanya, saya terpaksa terpaksa berdalih dengan menyatakan saya hendak jumpa kawan.
“Emak memahami minat saya dan tidak pernah pun datang melihat saya menyanyi. Janji, saya pandai menjaga diri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jaclyn turut disoal mengenai reaksinya apabila bekas suami, Shawn Rivera sudah menemui pengganti.

Tidak terkejut dengan soalan itu, Jaclyn mengakui mengetahui berita itu menerusi Instagram Story bekas suami dan tumpang gembira mendengar perkhabaran itu.
Bahkan, juara All Stars Gegar Vaganza ini menzahirkan ucapan tahniah dan mendoakan kebahagiaan bekas suami dan isteri baharunya dalam media sosial.
“Saya tidak tahu menahu mengenai perkahwinan, namun, dapat tahu menerusi Instagram Story dimuat Rivera.
Saya mengucapkan tahniah dengan kapsyen mendoakan terbaik buat mereka. Saya doakan Rivera dan isteri bahagia selamanya. Sejujurnya, saya gembira kerana akhirnya Rivera bertemu dengan seseorang dan berkahwin,” katanya.
Jaclyn dan Rivera pernah berkahwin di sebuah gereja bersejarah di Philadelphia, Amerika Syarikat (AS) pada 19 Julai 2014, sebelum bercerai, lima tahun kemudian.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Jonah Joshiah Rivera, 9, dan Molly Marguerite Rivera, 7.
Dalam perkembangan lain, Jac bakal tampil dengan konsert solo pertamanya pada 12 Oktober depan.
Konsert anjuran Banyak Bagus Entertainment dan Awake Production itu bakal dipentaskan di Zepp Kuala Lumpur.
“Ini adalah konsert solo pertama saya selepas 20 tahun berada dalam bidang seni. Sebelum ini, saya tidak yakin hendak buat konsert solo walaupun ramai berharap.
“Bukan hendak kata saya tidak yakin dengan kemampuan diri, tetapi insiden di mana banyak persembahan peminat sudah beli tiket, tiba-tiba, acara dibatalkan pada saat akhir.
“Meskipun saya sendiri tidak pasti adakah insiden itu disebabkan tiket tidak laku, namun, ia menimbulkan pelbagai spekulasi. Saya tidak mahu perkara sama menimpa.
“Mungkin selepas 20 tahun menyanyi, perasaan sangsi kian hilang dan saya berpendapat, sudah tiba masa untuk mengadakan konsert.
“Secara kebetulan, penganjur konsert adalah kawan. Saya percaya dengan kewibawaannya. Jadi, mengapa saya harus tolak peluang keemasan
ini,” katanya yang terkenal dengan lagu Gemilang.