Kuala Lumpur: “Dia (Fariz) baru habis sekolah dan dia cakap, nak cari duit. Dia anak yang rajin berusaha dan bekerja keras sampai dia dapat membeli motosikal itu sendiri secara tunai hasil titik peluhnya.

“Dia berniaga makanan bersama kawan-kawannya di pasar malam. Sebagai bapa, saya sangat berbangga dengan anak saya,” kata pemain dram kumpulan Stings, Razaleigh Alkamal atau Jaly mengenai anaknya Allahyarham Muhammad Fariz Hakimi Razaliegh, 19, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya malam semalam.

Menurut Jaly, dia dimaklumkan anak keduanya itu menunggang motosikal terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kenangan, Meru, Klang kira-kira jam 11.30 malam.

“Semasa kejadian, saya baru pulang dari bengkel dan ada kawan dia datang ke rumah untuk maklumkan. Belum sempat saya sampai ke tempat kejadian, saya diberitahu untuk terus ke hospital.

“Saya dapat tahu daripada kawan rapatnya yang pulang bersama dari berniaga. Jadi, kebetulan, semalam mereka nak singgah minum di kedai mamak bersama kawan-kawan lain.

“Doktor maklumkan, ketika kejadian, dia dah tak sedarkan diri. Mereka cuba beri bantuan pernafasan (CPR) di tempat kejadian, kemudian bawa ke hospital untuk bantuan lain. Namun, Fariz tak dapat diselamatkan,” katanya kepada Harian Metro.

Jaly dalam nada penuh hiba berkata, pemilik kereta itu bagaimanapun tampil membuat laporan dan mendakwa keadaan motosikal anaknya yang dikatakan, tidak menyalakan lampu.

“Dia cakap, motosikal anak saya tak ada lampu. Padahal, itu motosikal baharu dan semuanya dapat dilihat dalam rakaman dari kamera yang dipasang di dalam kereta.

“Mujurlah ketika kejadian, kawan anak saya ada sebagai saksi dan menantu saya pun bertindak dengan cepat ke tempat kejadian,” katanya.

Jenazah Fariz akan diuruskan di Masjid Nurul Iman, Telok Gadong, sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Kampung Sungai Sireh Tambahan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *