Kuala Lumpur : Suami kepada pelakon Abby Abadi iaitu Muhammad Faizal Zakaria mengambil pendekatan untuk tidak masuk campur mengenai gosip anak tirinya, Marissa Dania Hakim.
Faizal atau lebih mesra disapa Jai memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai Marissa yang dihambat kontroversi ketika ini.
“Maaf kalau ingin bertanya atau temubual mengenai perkara itu saya tidak mahu. Saya tidak mahu komen,” kata Jai.
Jai ketika dihubungi lantas menamatkan panggilan telefon sebaik saja penulis memperkenalkan diri kepadanya.
Manakala usaha Harian Metro mendapatkan ibu bapa kepada Marissa iaitu Norman Hakim dan Abby Abadi tidak berjaya.
Norman tidak menjawab panggilan manakala Abby pula mengambil pendekatan menutup telefon bimbitnya.
Terdahulu, Harian Metro mendedahkan anak kepada pasangan selebriti itu sudah mendirikan rumah tangga secara senyap dengan suaminya, Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember lalu.
Pendedahan yang dibuat turut disahkan Nadiah Mazlan, kakak kepada isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan, semalam.
Pada September lalu kecoh dalam media sosial apabila Misya tampil membongkar dakwaan kisah kecurangan suaminya dengan Marissa.
Misya menerusi satu hantaran di media sosial mendedahkan Marissa didakwa menjadi penyebab utama dirinya diceraikan suaminya.
Namun, Aslam dan Misya mengambil keputusan untuk rujuk semula ketika dalam tempoh edah.