Kuala Lumpur: Keadaan penyanyi lagu irama Malaysia, Fauziah Idris yang diserang strok ringan di bahagian mulut semakin baik selepas dirawat di Hospital Sungai Buluh sejak Selasa lalu.

Suaminya, Mohd Yasir Idris, 48, berkata, isterinya menunjukkan perubahan semalam apabila mula kenal orang, namun masih belum mampu bercakap.

“Keadaannya pada hari pertama diserang strok agak teruk. Sekarang tangan pun dah boleh angkat, cuma tak berapa kuat akibat kesan suntikan.

“Begitu juga kaki dah boleh angkat tapi tak boleh kuat sangat. Saya juga lega dia dah boleh senyum. Sekarang dia berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di bawah pemantauan doktor,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Yasir yang bekerja sendiri sebagai perunding kesihatan tradisional berkata, dia memohon doa peminat atau mana-mana pihak yang kenal Fauziah agar mendoakan kesembuhan isterinya.

“Mana tahu ada di antara mereka ini yang mustajab dan dimakbulkan Allah. Berkenaan kos rawatan insya Allah setakat ini masih okey. Selepas ini tak tahulah macam mana,” katanya.

Terdahulu, Fauziah, 46, yang popular dengan lagu Rindu Merindu menerusi album sulungnya pada 2000, diserang strok selepas menunaikan solat Asar di rumahnya di Rawang, Selangor pada Selasa.

Dia kemudian dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Wad Kecemasan (Zon Merah). Doktor kemudian mengesahkan Fauziah diserang strok ringan di bahagian mulut.

Penyanyi berasal dari Johor Bahru ini berkahwin dengan Mohd Yasir pada 3 September 1999 dan dikurniakan empat anak.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *