KUALA LUMPUR: Bagi bekas wartawan penyiaran berusia 27 tahun, Ahirine Ahirudin, dia kerdil dikelilingi barisan finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 yang hebat lain

Ahirine yang mula menempa nama menerusi filem Gadis Jolobu The Movie, berjaya membolosi kategori Aktres Filem Popular yang menyaksikan persaingan sengit dengan empat pelakon hebat iaitu Maya Karin, Diana Danielle, Janna Nick dan Sophia Albarakbah.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan tidak disangka-sangka ini. Melihat kepada nama pencabar dalam kategori ini, saya amat rendah diri.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada peminat yang bersusah payah mengundi sehingga nama saya layak berada dalam kelompok Top 5.

“Terima kasih juga kepada penganjur ABPBH 35 kerana mempercayai bakat saya,” katanya yang turut bolos Top 5 bagi kategori Couple Filem Popular bersama Farid Kamil bagi filem Remp-It 2.

Ditanya mungkinkah kontroversi yang mengaitkan namanya dengan rakan gandingannya menjadi penyumbang undian, gadis tinggi lampai itu tidak menafikan ia sedikit sebanyak membantu dirinya untuk dikenali.

Ahirine tidak menafikan gosip sedikit sebanyak membantu nama lebih dikenali. - Foto IG Ahirine Ahirudin
Ahirine tidak menafikan gosip sedikit sebanyak membantu nama lebih dikenali. – Foto IG Ahirine Ahirudin

Namun, gadis yang meminati sukan lasak dan permotoran itu enggan kerjayanya dilihat berpaksikan kepada kontroversi semata-mata.

Tidak melatah, anak kedua daripada tiga beradik itu sedar ia adalah lumrah sebagai seorang anak seni.

“Saya tidak nafikan mungkin dengan adanya kontroversi membuatkan ramai lebih mengenali saya. Tetapi, mungkin secara kebetulan juga, nama saya menjadi pilihan peminat sehingga berjaya dalam kelompok Top 5.

“Apapun, saya tidak mahu kerjaya berpaksikan kepada kontroversi semata-mata. Sebaliknya saya mahu dikenali disebabkan bakat.

“Bagaimanapun, saya ambil segala-galanya secara positif dan mungkin ini juga rezeki saya apabila dikenali ramai dan menjadi perhatian.

“Bagi saya, tidak perlu melatah apabila digosipkan dengan Farid. Ini kerana gosip itu tidak betul dan apa yang boleh dikatakan, ia adalah lumrah sebagai anak seni.

“Suka atau tidak, saya tetap perlu hadapi segala, dugaan, cabaran, tohmahan, kontroversi dan macam-macam lagi dari sudut yang positif,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *