Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal, Jaclyn Victor, 45, merancang untuk mengadakan konsert skala besar sempena meraikan genap 20 tahun pembabitannya dalam industri muzik tanah air tahun depan.

Menurut juara Malaysian Idol musim pertama yang lebih mesra di sapa Jac itu, penganjuran konsert solo itu adalah impiannya sebagai penyanyi berpengalaman.

“Buat masa ini, konsert itu dalam proses perbincangan lagi kerana pastinya memerlukan perancangan rapi seperti pemilihan lokasi, konsep dan sebagainya.

“Antara lokasi konsert yang dalam senarai seperti di pentas Zepp Kuala Lumpur yang mampu menampung 2,000 penonton dalam satu masa,” katanya kepada Harian Metro.

Jac ditemui pada sesi santai single terbarunya Kembalilah di sebuah hotel di ibu kota di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai konsert skala besar itu, kata Jac yang juga juara program realiti Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), dia mahu tampilkan konsep yang berbeza dan mampu memberi kepuasan pada peminatnya nanti.

“Ramai artis tempatan dan luar negara yang buat konsert di negara ini. Justeru, saya mahu tampilkan kelainan dari artis lain untuk menarik pengunjung.

“Soal penajaan pula, saya juga mengalu-alukan jika ada syarikat atau mana-mana pihak yang berminat untuk bekerjasama atau menaja konsert solo itu nanti,” katanya.

Ditanya sama ada dia berminat untuk buat konsert dengan orkestra pula, kata Jac, dia akui masih berasa gementar setiap kali membuat persembahan bersama kumpulan orkestra.

“Saya suka menyanyi dengan iringan orkestra dah sudah banyak kali buat persembahan dengan orkestra tetapi debarannya memang lain macam.

“Bagaimanapun, buat permulaan, saya mahu buat persembahan skala kecil atau showcase dulu khusus buat peminat setia pada tahun ini,” katanya.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *