KUALA LUMPUR: Filem arahan Syafiq Yusof, Polis Evo 3 mengaut RM50 juta selepas 24 hari tayangan termasuk sesi tontonan awal.

Dengan rekod baharu itu, filem aksi komedi terbitan Astro Shaw dan Skop Productions Sdn Bhd itu dianggap filem francais paling laris di Malaysia sepanjang masa.

Biarpun memasuki minggu keempat tayangan di pawagam di Malaysia, Brunei dan Singapura, selain bersaing dengan pelbagai filem francais besar Hollywood, namun, Polis Evo 3 masih mendapat kepercayaan pelbagai lapisan penonton.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 yang juga Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya sangat bersyukur atas sambutan memberangsangkan daripada penonton.

“Kejayaan Polis Evo 3 diharap dapat menjadi penyuntik semangat buat kami dan penerbit lain untuk terus menghasilkan karya berkualiti.

“Penonton sudah membuktikan sokongan mereka terhadap filem tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Raja Jastina berkata, kejayaan mengaut RM50 juta mengukuhkan jenama Polis Evo sebagai francais nombor satu negara dengan kutipan tertinggi.

“Terima kasih kepada pawagam yang masih menyokong Polis Evo 3 dengan memberi jumlah tayangan yang masih tinggi, biarpun sudah memasuki minggu keempat tayangan.

“Terima kasih kepada media, rakan penerbit, barisan pelakon dan teristimewa penonton Malaysia, tanpa anda kejayaan ini tidak akan berhasil,” katanya.

Polis Evo 3 menampilkan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Filem ini berkisar Inspektor Khai lakonan Shaheizy dan Inspektor Sani (Zizan) kembali dengan misi terbaharu. Kali ini, pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Polis Evo yang ditayangkan pada 2015 mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta dan Polis Evo 2 pada 2018 memungut RM23 juta.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *