Kurang makan dan berpuasa rahsia Fauziah Nawi jaga kesihatan dan berat badan

Fauziah Nawi (tengah) ketika persembahan monolog Orang Suara Kuat.

Kuala Lumpur: Pada usia mencecah 70 tahun, artis serba boleh, Fauziah Nawi dilihat hebat beraksi sendirian menerusi persembahan teater monolog Orang Suara Kuat yang berlangsung di Studio STEFANI, Taman Sulaiman Putra, Ampang, di sini, malam tadi.

Menerusi persembahan selama sejam setengah itu, pelakon yang mesra disapa Ibu itu tidak nampak penat bercerita pengalaman hidupnya dari kecil dan ada kalanya menyanyi sambil menari di pentas.

Fauziah berkata, kekuatannya untuk terus menghibur adalah anugerah dari Allah SWT. Sokongan penonton juga jadi kekuatannya.

“Saya seronok buat persembahan dan pada masa sama saya jaga pemakanan. Saya ikut nasihat doktor turunkan berat badan.

“Dulu saya pakai baju saiz XXL dan sekarang dah saiz L. Dulu berat saya 98 kilogram (kg), namun sekarang 67.8 kg dan ambil masa lima tahun untuk turun berat sebegini.

“Saya cuba kekalkan berat ini. Caranya ialah makan jangan bertambah dan banyakkan berpuasa. Itu yang saya buat dah lima tahun. Syukur saya tak ada kencing manis. Jantung bagus dan tiada darah tinggi,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, selepas beraksi dalam persembahan ini juga, dia lambat tidur sebab masih segar.

“Cuma jangan terlalu letih takut ‘vocal chord’ letih dan suara jadi serak. Sebelum persembahan ini, saya jumpa doktor sebab letih baru habis penggambaran di Sabah dan persembahan di Langkawi dengan Istana Budaya untuk teater Keajaiban Puteri Langkawi.

“Saya ‘check’ paru-paru serta jantung dan doktor kata semua ok. Tekak saya agak perit jadi doktor bagi antibiotik dan nasihatkan jangan makan mangga dan anggur,” katanya.

Persembahan monolog Orang Suara Kuat berlangsung selama tiga malam bermula semalam hingga esok.

kradit : hmetro.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *