Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah menawarkan diri sebagai calon Exco Pemuda Umno Malaysia untuk mahu lebih ke depan dalam bidang politik.
Hafiz yang juga pelakon dan pengarah berkata. dia mempunyai impian untuk membantu semua lapisan masyarakat menerusi pembabitan dalam politik.
“Prinsip saya ialah Satu Tekad Satu Matlamat manakala ‘tagline’ saya pula Dari Rakyat Kepada Rakyat. Saya mempunyai idea dan visi yang jelas untuk mengembalikan kegemilangan sayap pemuda Umno dengan mengembleng usaha dan tenaga bagi memberikan nafas baru kepada pemuda khususnya yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti.
“Menerusi pembabitan sebagai anak seni, saya mempunyai personaliti yang mampu menarik golongan muda kembali kepada Umno dalam jangka masa lima tahun akan datang.
“Perjuangan dalam industri kreatif terbukti melalui pelbagai cara antaranya mempertahankan berkenaan isu-isu hangat termasuk yang terbaru isu filem Mentega Terbang,” katanya.
Selain Setiausaha Agung Seniman, Hafiz juga adalah Ikon Antidadah Kebangsaan, Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Dang Wangi dan Presiden Pertubuhan Ekonomi Inovasi Melayu Malaysia.
Hafiz juga adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Sungai Buloh.
Dia menyifatkan dirinya seorang calon yang mudah didekati, berperwatakan menarik, hormat orang, berkarisma dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan.
Terdahulu, pada akhir Oktober tahun lalu, Hafiz mengesahkan ditawarkan sebagai calon PRU15 dari Umno.
Dia bagaimanapun terpaksa menolak kerana masih mahu mengukuhkan kedudukan terlebih dulu.
Pelakon filem Dunia Baru The Movie ini berkata, sekiranya setuju, dia akan dicalonkan sebagai wakil parti terbabit sama ada di Selangor atau Perak.
Kredit: Harian Metro