KUALA LUMPUR: Insiden aktres Fasha Sandha cedera terhentak bucu katil ketika menghidupkan babak dalam drama Anak Tuan bersama Azhan Rani, baru-baru ini, membuka persoalan perlu pelakon dan tenaga kreatif diberi perlindungan secukupnya, terutama insurans andai berlaku kejadian boleh mendatangkan kecelakaan.

Kebimbangan timbul jika pelakon, termasuk kru balik tabir tidak mendapat perlindungan atau ‘semborono’ beraksi tanpa menyedari kesan buruk andai terjadi perkara tidak diingini ketika penggambaran atau tugasan disiapkan.

Sebelum ini, pelan perlindungan insurans hanya disediakan syarikat penerbitan filem bergenre aksi. Namun, kini malang tidak berbau, jadi syarikat produksi menerbitkan drama atau telefilem juga tidak seharusnya memandang remeh soal keselamatan, sebaliknya digalakkan mengambil langkah perlindungan sebaiknya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, berkata perkembangan terkini kes membabitkan kecederaan di lokasi penggambaran filem dan drama tempatan amat merisaukan.

“Ini memandangkan majoriti syarikat penerbitan tidak mengambil insurans untuk artis dan pekerja industri ketika penggambaran dijalankan.

“Pekerja industri juga terdedah kepada kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik ke lokasi.

“FINAS akan mengadakan perbincangan dengan semua persatuan seni bagi menyelaraskan usaha mengadakan insurans berkelompok untuk pekerja industri,” katanya kepada BH Online.

Sehubungan itu, Md Nasir berkata, FINAS akan menguatkuasakan kepada semua syarikat penerima Dana Kandungan Digital (DKD) mengambil insurans untuk pekerja industri yang terbabit bagi memastikan kebajikan terbela.

“Usaha ini memberikan jaminan nasib pekerja industri jika berlaku perkara tidak diingini, memandangkan mereka terkesan jika tercedera dan tidak mampu bekerja.

“Inisiatif ini juga menyelamatkan syarikat produksi menanggung kerugian jika pelakon dan kru balik tabir tidak dapat meneruskan tugasan mereka,” katanya.

Tambah Md Nasir, FINAS akan mengumumkan keseluruhan pakej insurans berkenaan pada masa terdekat dalam usaha membina industri yang menjaga kebajikan penggiat industri kreatif negara.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *