Kuala Lumpur: Bekas pemain gitar kumpulan rock popular 90-an Crossfire, Mohamad Yusri Razali kini mengorak langkah dengan menghasilkan album solo bertajuk ‘Neurofibromatosis’.

Yusri atau lebih dikenali dengan panggilan Yus Crossfire berkata, Neurofibromatosis adalah nama untuk penyakit yang dihidapinya sejak tahun 2009.

“Nama ini bermaksud ketumbuhan pada saraf dan Neurofibromatosis type 2 adalah jenis penyakit yang dihidapi di mana ketumbuhan (tumor) tumbuh pada saraf otak dan saraf tunjang.

“Album ini memuatkan lapan lagu ciptaan saya di mana empat lagu iaitu Neurofibromatosis, Qhilafmu, Thanatophobia dan bonus track Realiti & Fantasi dalam bentuk instrumental.

“Manakala selebihnya untuk lagu Airmata Izza, Rintis Hujan dan Tirai Malam, saya mendapatkan khidmat penyanyi yang popular sekitar Johor iaitu Jamilah Jamal atau Puteri JJ.

“Sebuah lagi lagu bertajuk Cinta Dan Rindu pula dinyanyikan oleh penyanyi Crossfire sendiri iaitu Aim,” katanya kepada Harian Metro.

Yus berkata, album ini diterbitkan oleh Myraz Musiqa Studio yang dimiliki olehnya sendiri.

“Konsep dalam album ini berbentuk universal sebab matlamat saya mencipta lagu adalah untuk konsep ‘Music Therapy’ yang saya praktikkan untuk kegunaan diri sendiri.

“Saya sekarang mengorak langkah untuk berkongsi lagu-lagu terapi untuk manfaat kepada orang lain.

“Langkah seterusnya, saya akan lebih tumpukan pada pembikinan lagu ‘Music Therapy’ dengan kerjasama sebuah Kompleks Perubatan Alternatif di Muar dan juga dengan beberapa badan profesional bagi merealisasikan matlamat ‘Music Therapy’ ini,” katanya.

Menurutnya, album ‘Neurofibromatosis’ akan dilancarkan secara rasmi bertempat di Warung Makan JDT, Sungai Abong , Muar esok.

Terdahulu, pada era kegemilangan Crossfire, kumpulan ini dikenali dengan beberapa lagu popular antaranya Realiti & Fantasi, Hidup Satu, Puteri Gunung Ledang, Puteri Duyung dan banyak lagi.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *