Kuala Lumpur: “Dia selalu petik nama saya di TikTok dan cakap macam-macam yang buruk berkaitan saya sedangkan puncanya daripada dia,” kata Ariey, pemain drum kumpulan Leon mengenai jodoh mereka dengan penyanyinya, Ayie yang sudah berakhir.
Ariey yang juga pencipta lagu baru Leon berjudul Damaikan Jiwa berkata, kenyataan Ayie, 48, menerusi sebuah akhbar mengatakan mahu bergerak solo dan bergabung dengan anaknya Putri Nazlisabella, 16, dalam persembahan jelas membuktikan dia sudah tiada hati dengan Leon.
“Memang tiada surat rasmi daripada dia atau kami, tapi mengikut apa yang dikatakan dalam akhbar terbabit, dia dikira
sudah keluar Leon.
“Apabila dia umum begitu, kami kenalah fikir untuk cari makan dan pilih Mie (bekas penyanyi pertama) Leon untuk menyanyi. Kami pun tak halang Ayie nak bergerak secara solo.
“Kami tak boleh tunggu Ayie kerana perangainya yang macam-macam. Pergi Sabah pun tak beritahu kami sedangkan kami pun ada jadual sendiri,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, semasa program Malaysia Hari Ini (MHI) baru-baru ini, Leon membawa Mie sebagai penyanyi atas perbincangan bersama.

“Semua anggota setuju ambil Mie untuk gantikan Ayie. Dia mati-mati menafikan nak bergerak solo sedangkan kenyataan itu keluar daripada mulutnya sendiri.
“Habis, kami yang di belakang nak jadi apa? Kami ada meluahkan perasaan dalam aplikasi WhatsApp pengurusan dan dia lantang mempertikaikan tindakan saya. Saya kata tak kisah orang tak suka saya tapi saya cakap yang benar. Allah itu ada,” katanya.
Ariey menyifatkan Ayie seperti kacang lupakan kulit dan kuat berangan seperti ‘superstar’ apabila popularitinya kembali memuncak menerusi lagu Balasan Janji Palsu Mu.
“Dia anggap lagu itu hak dia orang sedangkan kami juga terbabit sama dalam album itu. Tak pernah pula kami nak berlagak atau bangga diri. Begitu juga dengan single terbaru Damaikan Jiwa. Dia mula buat perangai dan pergi ‘show’ tak beritahu kawan-kawan lain. Seolah-olah single Damaikan Jiwa hanya untuk dia seorang,” katanya.
Kredit: Harian Metro