SIRI mini animasi di Astro Warna kali ini mengambil kampung pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad ketika kecil di Kampung Kayu Ara, Mambau, Negeri Sembilan sebagai ‘backdrop’ dan jalan ceritanya.

Animasi pendek terbitan Astro dan Ed Online Technologies Sdn Bhd bersama Nabil ini adalah animasi selebriti pertama di Malaysia dan kesinambungan kepada musim pertamanya yang mendapat sambutan baik daripada peminat.

Nabil, 39, atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad juga idea asal dan pelakon alih suara Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! berkata, siri mini ini adalah berbeza daripada kebanyakan siri lain.

“Menerusi animasi Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! kali ini, saya ingin menunjukkan yang di mana-mana situasi pun, kebenaran akan terungkap. Bak kata pepatah berani kerana benar, takut kerana salah. Lebih kurang begitu topik yang saya ingin terapkan kepada penonton. Tiada apa yang terlalu serius. Ini juga sebenarnya adalah untuk keseronokan dan hiburan saja.

“Selain itu, saya memilih untuk menghasilkan animasi ini kerana ingin mencari kelainan. Bagi saya, filem pendek dan rancangan realiti itu sudah agak biasa. Jadi, tujuan utamanya adalah untuk menjadi selebriti pertama yang mempunyai animasi tersendiri.

“Jika kita mahu mengikut dunia digital pada zaman sekarang ini, sudah terlalu banyak animasi dan kartun yang dikeluarkan dari segi penceritaan yang moden, tetapi tidak ramai selebriti yang mendapat peluang untuk membuat animasi berdasarkan kehidupan mereka sendiri. Oleh itu, saya sangat teruja dan bersyukur diberi peluang oleh Astro untuk menjadi selebriti pertama yang menghasilkan animasi sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, Nabil berharap siri mini animasi itu adalah permulaan untuknya untuk muncul dengan karya lain.

“Harapan saya untuk siri mini animasi Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! ini semestinya menggunung tinggi. Saya berharap suatu hari nanti kita ada Lu Pikir La Nabil The Movie yang akan ditayangkan di seluruh pawagam atau di saluran Astro First, Insya-Allah. Saya juga berharap supaya penonton terhibur dengan penceritaannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Siri Mini Animasi Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! Syukur Majid berkata, siri mini kali ini masih membawa elemen yang menggelikan hati selain melanjutkan durasi animasi.

“Alhamdulillah, animasi musim pertama sebelum ini mendapat reaksi yang sangat positif seperti kelakar, menarik dan terhibur daripada penonton. Malah, mereka sukakan latar belakang animasi ini yang mengimbau kenangan mereka kepada komik dan animasi tempatan tahun 90-an.

“Melalui respons ini, Astro dan pihak produksi meneruskan dengan musim kedua yang menekankan penceritaan pada bulan Ramadan dan hari raya 2022. Musim kali ini, kami mengekalkan konsep siri mininya dengan masih membawa elemen yang menggelikan hati.

“Namun, kali ini kami melanjutkan durasi animasi ini menjadi tujuh minit daripada empat minit sebelumnya, jadi penonton akan dapat terhibur lebih lagi, ditambah pula dengan kemunculan watak baharu yang mengubah dimensi penceritaannya. Ceritanya menjadi lebih kecoh. Pelbagai konflik dan drama berlaku kepada Nabil, rakan-rakannya dan orang kampung ketika menyambut Ramadan dan Syawal,” katanya.

Syukur berkata, animasi ini juga diterbitkan dengan penuh pengisian yang mampu memberi teladan kepada penonton.

Katanya, pada mula perbincangan dan pengumpulan idea lagi mereka sudah merancang dengan rapi plot cerita yang bersesuaian bagi membentuk kitaran cerita yang bermakna, di mana setiap permasalahan adanya penyelesaian.

“Mencampuradukkan kisah sebenar hidup Nabil Ahmad pada zaman kanak-kanaknya sekitar tahun awal 90-an, kami gabungkan dengan permasalahan di zaman kini supaya mudah diterima penonton kini,” katanya.

Animasi musim kedua ini menggambarkan suasana sambutan Ramadan dan hari raya Nabil ketika kecil di kampungnya. Penceritaan animasi ini juga mengetengahkan dialek tempatan iaitu dialek Negeri Sembilan sebagai dialog utama yang menjadikan animasi ini lebih menghiburkan.

Animasi ini turut didukung oleh barisan pelakon suara seperti Shahril Fahmey dan Haefizul Yusof iaitu kawan baik Nabil dari kecil yang dijemput khas untuk membuat alih suara bagi watak Fahmi dan Mok serta Amanda Amry, pelakon yang sedang meningkat.

Siri mini animasi Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! musim kedua ditayangkan setiap Khamis, mulai 7 April lalu, jam 10 malam di saluran Astro Warna HD (107) dan ulangan di saluran Astro Ceria HD (611) pada setiap Ahad, jam 3 petang.

Animasi ini juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *