KUALA LUMPUR: Sekeluarga diuji COVID-19, tahun lalu membuatkan pelakon, Mawar Rashid sangat berhati-hati agar tidak dijangkiti lagi.

Mawar atau nama sebenar, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid berkata, kesan ketara jangkitan COVID-19 membuatkan tubuhnya menyusut mendadak.

“Memang pengalaman mencabar kerana bukan saya sahaja dijangkiti, sebaliknya, suami, anak dan ibu turut mendapat virus sama. Malah, ibu sampai tahap empat.

“Saya dijangkiti teruk hingga berat badan turun lima hingga enam kilogram. Apabila sakit sangat, kita tidak boleh makan hingga badan jadi lemah, lesu dan mudah penat.

Mawar sekarang lebih berhati-hati bagi mengelak insiden mereka sekeluarga dijangkiti COVID-19, tahun lalu, berulang. Foto IG Mawar Rashid
Mawar sekarang lebih berhati-hati bagi mengelak insiden mereka sekeluarga dijangkiti COVID-19, tahun lalu, berulang. Foto IG Mawar Rashid

“Selepas itu, saya ambil masa lebih sebulan untuk sembuh dan kembali bertenaga,” katanya kepada BH Online.

Mawar berkata, sebelum dijangkiti COVID-19, dia berazam menurunkan berat badan, namun, perkara itu amat sukar dilakukan.

“Tidak sangka pula berat badan saya menyusut selepas dijangkiti COVID-19. Sebelum ini, berat badan saya 52 kilogram (kg) dan sekarang 47 kg.

“Sekarang, saya hanya menjaga pemakanan agar berat badan tidak naik lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Mawar bersyukur, anak dapat menyusu dengan baik, ketika itu.

“Alhamdulillah, anak saya cukup susu walaupun saya tidak sihat. Saya sentiasa berdoa agar anak dilindungi. Alhamdulillah, anak-anak yang lain semuanya okay,” katanya.

Julai tahun lalu, Mawar mengesahkan dia dan keluarga positif COVID-19 termasuk dua anak, Raden Muhammad Rafael dan Raden Seri Rosabella Cinta.

Dalam perkembangan lain, Mawar berkata, dia mahu kembali aktif berlakon, namun, belum ada tawaran yang sesuai.

“Mungkin selepas Aidilfitri saya bekerja semula. Sebenarnya, tawaran banyak dan ramai yang bertanya. Namun, saya mahu rehat dahulu.

“Kalau saya terikat dengan penggambaran, saya akan sibuk. Kasihan pada anak-anak yang rindukan saya. Jadi, insya-Allah, selepas Hari Raya, saya aktif semula,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *