KUALA LUMPUR: Siapa sangka tuah lagu parodi My Sejahtera Way, nama Azman Naim tiba-tiba menjadi perhatian ramai termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Malah, rezeki lelaki berusia 36 tahun itu juga semakin melimpah ruah apabila menerima pelbagai tawaran bukan sahaja dalam bidang lakonan, malah, nyanyian.

Terbaharu, pemengaruh media sosial yang sering menyanyikan lagu berunsurkan kritikan sosial itu bakal memeriahkan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang berlangsung Sabtu ini.

Azman kali pertama diundang membuat persembahan dalam anugerah berprestij berkata, dia teruja diberi ruang untuk tampil dalam malam kemuncak ABPBH 34, meskipun dirinya bukan seorang selebriti.

“Jika ditanya mengenai debaran, sejujurnya saya tidak terlalu berdebar. Sebaliknya, perasaan lebih kepada teruja.

“Sebelum ini, saya biasa tampil membuat persembahan pada acara gig dan teater jalanan, jadi saya sudah biasa berhadapan dan bercakap di hadapan khalayak.https://4289ef264d11a6603a2b756a2235fbc9.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

“Cukup keterujaan saya berganda apabila bakat dipertontonkan dalam siaran secara langsung di kaca televisyen (TV). Jadi, tentunya saya tidak sabar menantikan saat ini,” katanya kepada BH Online.

Menerima undangan memeriahkan malam kemuncak ABPBH 34 pada September lalu, Azman atau nama sebenarnya, Mohd Nur Azman Naim tidak mengambil masa lama untuk memberikan persetujuan.

Jejaka berasal berasal dari Johor itu berkata, dia meminta pihak TV3 memberinya sedikit masa untuk melihat jadual kerja sebelum bersetuju.

“Sewaktu TV3 menghubungi, saya tidak terus bersetuju. Sebaliknya, saya perlu melihat jadual kerja, lagipun, saya mempunyai perniagaan yang perlu diuruskan.

“Secara kebetulan, tarikh malam kemuncak ABPBH 34 berdekatan dengan jadual penggambaran telefilem di Ipoh, Perak.

“Jadi, saya terus menyatakan persetujuan. Sebaik selesai ABPBH 34, saya akan ke Ipoh untuk penggambaran telefilem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali,” katanya yang aktif berteater sekitar Johor sehingga 2009.

Azman masih belum bersedia serius dalam industri seni, malah, mahu terus menjadi diri sendiri dan lebih gemar membuat hal sendiri. - Foto IG Azman Naim
Azman masih belum bersedia serius dalam industri seni, malah, mahu terus menjadi diri sendiri dan lebih gemar membuat hal sendiri. – Foto IG Azman Naim

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia pelik apabila diundang menyemarakkan pentas ABPBH, memandangkan dirinya bukan selebriti. Acara berprestij itu pula diadakan bagi meraikan insan seni terhebat.

“Saya tidak bangga, sebaliknya pelik. Awalnya, saya tertanya-tertanya, betulkah mereka ingin saya menyanyikan lagu My Sejahtera Way, sedangkan saya bukannya artis.

“Jika diminta menyanyikan lagu yang betul tidak mengapa, sebaliknya saya disuruh menyanyikan lagu parodi.

“Mengenai lirik lagu, ia sebenarnya terhasil secara spontan. Liriknya dihasilkan 10 minit sebelum saya merekodkan lagu ini, jadi saya perlu menghafal semula lirik untuk persembahan malam kemuncak ABPBH 34.

“Alhamdulillah, saya tidak rasa tertekan atau membuat persiapan beriya-iya sebagai persediaan, sebaliknya saya hanya santai-santai sahaja,” katanya.

Azman berkata, walaupun namanya kini semakin dikenali, namun, dirinya tetap terus menyanyikan lagu berunsurkan kritikan sosial dalam media sosial kerana sudah menjadi identitinya.

Namun, katanya, dia berharap peluang dapat muncul dalam anugerah berprestij seperti ABPBH dapat memberikan inspirasi kepada pencipta kandungan kreatif lain.

“Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada pencipta kandungan kreatif yang mereka mempunyai potensi mendapatkan peluang sama seperti saya.

“Apa yang penting, lakukan kerja dengan bersungguh-sungguh,” katanya yang menganggap dirinya bukan selebriti, sebaliknya orang biasa yang meminati seni.

Tambahnya, dia masih belum bersedia untuk serius dalam industri seni. Malah, mahu terus menjadi diri sendiri dan lebih gemar membuat hal sendiri.

“Setakat ini, tawaran berlakon memang ada, tetapi saya perlu melihat kepada jadual, memandangkan saya mempunyai perniagaan yang perlu diuruskan. Selain itu, saya juga menerima tawaran sebagai penyanyi.

“Bagaimanapun, saya masih belum menyatakan sebarang persetujuan kerana masih memilih lagu. Ada yang muzik okay, tetapi lirik pula tidak kena. Selalunya, saya sendiri yang akan menghasilkan lirik.

“Ada pula kontrak ditawarkan tidak berbaloi dari sudut masa kerana saya ada tuntutan kerja lain. Jadi, buat masa ini, saya menangguhkan dahulu tawaran sebagai penyanyi,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *